MENTERI AGAMA SAMBUT TITAH SULTAN NAZRIN, PERKASA PENGURUSAN WAKAF NEGARA

Oleh: Muhammad Suhairi Fakri

KUALA NERUS, 28 Julai (IKIM) – Kerajaan menyifatkan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang menegaskan masih banyak aset wakaf di negara ini belum dimanfaatkan secara optimum sebagai satu peringatan penting untuk terus memperkukuh tadbir urus, pengurusan dan pembangunan institusi wakaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, pandangan dan teguran Sultan Nazrin perlu diterjemahkan sebagai motivasi bagi semua pihak berkaitan untuk menambah baik sistem pengurusan wakaf agar aset berkenaan mampu memberikan manfaat lebih besar kepada masyarakat.

“Kita melihat titah Tuanku sebagai sesuatu yang memberikan motivasi dan semangat kepada kita untuk menambah baik lagi perkembangan wakaf,” kata beliau selepas menghadiri Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2026 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, hari ini.

Terdahulu, Sultan Nazrin bertitah bahawa terlalu banyak aset wakaf masih belum dimanfaatkan sepenuhnya akibat kelemahan tadbir urus, rekod yang tidak lengkap, pertikaian pemilikan tanah serta pentadbiran yang kurang berkesan.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata kerajaan menerusi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mempunyai Pelan Induk Wakaf Nasional yang akan terus diperkemaskan dengan mengambil kira pandangan dan pengalaman daripada negeri-negeri.

“Di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kita sudah ada Pelan Induk Wakaf Nasional, tetapi kita ingin perkemaskan lagi dengan mengambil kira pandangan-pandangan daripada negeri-negeri,” katanya.

Menurut beliau, usaha memperkasa wakaf tidak hanya tertumpu kepada aset tanah atau hartanah semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai bentuk aset wakaf yang mempunyai potensi untuk dimanfaatkan bagi pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

WhatsApp
Scroll to Top