BAITULMAL PERKUKUH PERANAN SEBAGAI PEMACU PERTUMBUHAN EKONOMI UMAT ISLAM

Oleh: Muhammad Suhairi Fakri

KUALA NERUS, 28 Julai (IKIM) – Institusi Baitulmal di seluruh negara sedang bergerak ke arah transformasi baharu dengan memperkukuh peranan sebagai pemacu ekonomi umat Islam, bukan lagi sekadar institusi pengagihan bantuan semata-mata.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata pendekatan kewangan sosial Islam masa kini perlu berubah daripada bersifat pengagihan (distributive) kepada generatif menerusi usaha menjana ekonomi dan pertumbuhan yang lebih mampan.

“Baitulmal bukan hanya berperanan dalam konteks distributive iaitu pengagihan, tetapi generatif iaitu menjana ekonomi dan pertumbuhan ekonomi.”

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2026 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus hari ini yang menghimpunkan lebih 400 peserta terdiri daripada profesional, pembuat dasar, pelaksana dasar, wakil Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), pusat zakat, institusi pendidikan tinggi serta agensi berkaitan.

Zulkifli berkata, konvensyen kali keenam itu menjadi platform penting untuk menghimpunkan pemegang taruh bagi membincangkan hala tuju baharu institusi Baitulmal dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.

Menurut beliau, antara fokus utama yang diberi perhatian ialah memperkukuh penggunaan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), rantain blok dan teknologi baharu lain bagi meningkatkan kecekapan serta sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

“Baitulmal di seluruh negara sudah pun bergerak untuk lebih teguh ke hadapan dengan mensinergikan lagi teknologi digital, artificial intelligence (AI), blockchain dan teknologi-teknologi lain untuk memperkemas serta melancarkan sistem penyampaian,” katanya.

Zulkifli berkata tiga pendekatan strategik perlu diberi perhatian iaitu peralihan daripada bantuan terus kepada pemerkasaan ekonomi melalui sinergi zakat, wakaf dan pembiayaan mikro Islam, pendigitalan pengurusan baitulmal menerusi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan data raya serta pengukuhan wakaf berimpak tinggi.

Beliau berkata, institusi Baitulmal juga perlu meneroka instrumen baharu dan produk yang lebih kompetitif supaya mampu menawarkan penyelesaian kepada masyarakat selaras dengan keperluan dunia semasa.

“Dalam masa yang sama, kita ingin meneroka instrumen-instrumen baharu, produk-produk yang lebih kompetitif supaya kita dapat menawarkan solusi dan menyelesaikan (keperluan) masyarakat dalam konteks dunia pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan kutipan zakat fitrah di Wilayah Persekutuan bagi tahun 2026 meningkat 10 peratus kepada RM18.3 juta melibatkan lebih 1.5 juta pembayar, dengan 40 peratus kutipan diterima secara dalam talian manakala transaksi Kod QR Amil meningkat sebanyak 63 peratus.

Zulkifli berkata Malaysia turut mencipta sejarah dalam pengurusan kewangan Islam melalui penghasilan Piawaian Perakaunan Bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW) pada 2024 yang menjadi piawaian perakaunan pertama di dunia khusus untuk institusi baitulmal, zakat dan wakaf.

Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2026 anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berlangsung selama dua hari bermula 28 hingga 29 Julai bertemakan “Wawasan Baharu Kewangan Sosial Islam: Transformasi Baitulmal, Memperkasa Agenda Fardu Kifayah.”

WhatsApp
Scroll to Top