JPM (HAL EHWAL AGAMA) KECAM PROVOKASI BEN-GVIR DAN PENEROKA HARAM ISRAEL DI MASJID AL-AQSA

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi yang dilakukan oleh Menteri Keselamatan rejim Israel, Itamar Ben-Gvir, bersama ribuan peneroka haram yang menceroboh pekarangan Kompleks Masjid Al-Aqsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata pencerobohan itu merupakan satu pencabulan terang-terangan terhadap kesucian kiblat pertama umat Islam serta melanggar status quo tapak suci berkenaan.

Beliau berkata, tindakan itu juga dilihat sebagai satu perbuatan yang sengaja dilakukan bagi membakar sentimen dan mencetuskan provokasi keagamaan secara melampau.

Menurut beliau, kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis memperlihatkan sikap yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa serta hak kebebasan beragama.

“Masjid Al-Aqsa adalah hak umat Islam yang wajib dipertahankan. Justeru, badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu bertindak pantas dan tegas bagi menghentikan kebiadaban yang berterusan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Malaysia terus berdiri teguh bersama perjuangan rakyat Palestin berlandaskan semangat Malaysia MADANI.

Beliau turut menyeru seluruh umat Islam di negara ini dan di seluruh dunia agar terus menyatukan fikrah, memperkukuh doa serta menyatakan penentangan tanpa kompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan terhadap Masjid Al-Aqsa.

Beliau turut mendoakan agar Allah SWT memelihara kesucian Masjid Al-Aqsa serta mengurniakan pertolongan dan kemenangan kepada rakyat Palestin.

WhatsApp
Scroll to Top