Oleh: Mahathir Shaharuddin
GERIK, 24 Julai – Kerajaan Persekutuan terus komited memastikan masyarakat Orang Asli, khususnya di kawasan pedalaman tidak tercicir daripada arus pembangunan menerusi pelaksanaan Program Mudik ke Hulu yang digerakkan oleh agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata program berkenaan menjadi platform untuk agensi-agensi agama turun padang mendekati masyarakat, mendengar sendiri keperluan mereka serta merangka usaha berterusan bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Menurut beliau, selaras dengan konsep Mudik ke Hulu, program itu bukan sekadar dilaksanakan secara sekali lalu, sebaliknya dirancang supaya memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Mudik ke Hulu Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Semelor dan Pulau Tujuh, Tasik Banding, di sini.
Dalam program tersebut, bantuan dan peruntukan keseluruhan berjumlah RM390,185 disalurkan melibatkan pelbagai bentuk sumbangan kewangan, kemudahan infrastruktur serta bantuan kebajikan kepada penduduk.

Antara sumbangan utama ialah penyediaan sebuah bot dan sebuah rumah bot bagi kegunaan penggerak masyarakat Orang Asli, selain pelaksanaan projek bekalan air bersih baharu serta bantuan penyelenggaraan kepada enam buah surau di kawasan berkenaan.
Bagi memperkukuh kebajikan komuniti, peruntukan itu turut meliputi penganjuran Kenduri Rakyat, agihan bakul makanan, penyerahan saguhati kepada kanak-kanak serta sumbangan 500 helai pakaian berjenama kepada penduduk setempat.
Mengulas mengenai pelaksanaan program tersebut, Dr. Zulkifli berkat, Program Mudik ke Hulu telah dilaksanakan di beberapa penempatan Orang Asli di seluruh negara termasuk di Negeri Sembilan, Selangor, Kelantan serta beberapa lokasi di Perak seperti Slim River dan Tanjung Malim.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Kampung Semelor dan Pulau Tujuh atas sambutan mesra serta kerjasama yang diberikan kepada rombongan agensi-agensi agama sepanjang program berlangsung.
Katanya, komitmen kerajaan melalui agensi-agensi agama akan diteruskan bagi memastikan masyarakat Orang Asli terus menerima manfaat pembangunan yang inklusif serta menikmati kemudahan dan kebajikan yang lebih baik.




