Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA LUMPUR, 25 Julai (IKIM) – Kerajaan akan mempercepat penyelesaian isu penyediaan rumah generasi kedua Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bersempena Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA dengan satu dasar berkaitan dijangka diputuskan dalam tempoh sebulan bagi membolehkan pelaksanaannya dimulakan dengan segera.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu akan diperincikan bersama Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier dalam usaha memastikan isu perumahan yang sekian lama menjadi perhatian warga peneroka dapat diselesaikan secara lebih menyeluruh.
Beliau berkata, usaha berkenaan turut melibatkan penyelarasan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan infrastruktur jalan supaya pembangunan rumah generasi kedua tidak berdepan kelewatan.
“Dua minggu lalu, selepas selesai lawatan di Jengka, saya terus mengarahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya memasang bekalan elektrik sebaik sahaja mendapat maklum balas sementara daripada kerajaan negeri. Maknanya, isu bekalan elektrik sudah selesai.

Saya beritahu kepada TNB jangan tanya saya dan saya tak nak dengar alasan atau membawa sebarang masalah kepada saya. Masalah air itu adalah masalah kerajaan negeri. Keputusan sudah kita buat, cuma menunggu pelaksanaanya,” katanya ketika berucap pada Program Santai Perantau sempena Sambutan 70 Tahun FELDA di Dewan Perdana FELDA, di sini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan Persekutuan bersedia meneliti bentuk bantuan kepada kerajaan negeri yang berdepan kekangan kewangan bagi memastikan penyediaan infrastruktur asas dapat dilaksanakan.
“Sekiranya ada kerajaan negeri yang berdepan masalah kewangan, kita akan pertimbangkan untuk membantu dengan mencari sumber pembiayaan serta meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan, sama ada sebahagian atau sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut mengarahkan pengurusan FELDA menyediakan laporan kemajuan secara berkala setiap bulan bagi memastikan tujuh inisiatif yang diumumkan sempena Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

“Kita umumkan tujuh perkara itu saya dah beritahu Pengurus Besar FELDA, saya nak ada laporan kemajuannya setiap bulan supaya tidak tertangguh.
Anwar berkata pemantauan berterusan penting bagi memastikan setiap pengumuman kerajaan tidak hanya kekal sebagai perancangan, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada peneroka.
Dalam pada itu, turut hadir dalam program ini ialah Pengerusi FELDA, Tan Sri Dato’ Sri Ahmad Badri Mohd Zahir; Timbalan Ketua Peneroka FELDA, Zaid Sidek; Pengerusi Kami Anak FELDA (KAF), Dato’ Amizar Abu Adam serta Pengerusi Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM), Ahmad Faizal Sulaiman.




