KERAJAAN SEDIA TERBIT LAPORAN RCI TABUNG HAJI – PM ANWAR

Oleh: Haziq Izzuddin Abdullah

KUALA LUMPUR, 23 Julai (IKIM) –  Kerajaan bersedia untuk menerbitkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) hari ini atau selepas mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan menerbitkan laporan tersebut sudah dibuat, namun ditangguhkan agar proses pemulihan dari pihak TH dapat berjalan dengan lancar.

“Rakyat ada hak untuk mengetahui laporan ini, tapi akan diteliti dengan Ketua Setiausaha Negara sama ada proses ini harus dirujuk ke Jemaah Menteri terlebih dahulu. Kalau tidak perlu, saya akan terbitkan hari ini. Kalau perlu, saya tunggu Rabu depan.

Saya berpendapat berlakunya pelanggaran terhadap banyak peraturan tetapi tidak boleh mengatakan ianya rasuah, namun sememangnya wujud penyalahgunaan yang serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui peberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Pengerusi Lembaga Tabung Haji), Tan Sri Abdul Rashid Hussain bersama pasukannya telah melakukan tugas dengan amat baik dan berjaya menguruskan Tabung Haji sebagai sebuah institusi yang diurus tadbir dengan baik, telus dan diaudit secara teratur.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dilaporkan berkata bahawa cadangan mendedahkan laporan akhir RCI Tabung Haji akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Beliau berkata perkara itu berikutan terdapat kekeliruan dan dakwaan penjualan aset strategik TH oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Turut hadir majlis HEGD 2026, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil  dan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi (FEM), Prof Datuk Dr Saadiah Mohamad.

WhatsApp
Scroll to Top