IKIM TEGASKAN PENDIRIAN TOLAK CAMPUR TANGAN ASING, PERTAHAN KEDAULATAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 23 Julai (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menegaskan sokongan terhadap pendirian kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan negara serta menolak sebarang bentuk campur tangan asing yang boleh menjejaskan prinsip saling menghormati antara negara berdaulat.

Dalam satu kenyataan media hari ini, IKIM menyokong kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, dan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung surat daripada lapan ahli Kongres Amerika Syarikat yang mendesak tindakan terhadap Malaysia berasaskan dakwaan yang dipertikaikan.

Menurut IKIM, dari sudut undang-undang antarabangsa, prinsip persamaan kedaulatan negara diperuntukkan dalam Perkara 2(1) Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), manakala prinsip tidak campur tangan turut diiktiraf sebagai undang-undang antarabangsa adat.

Kenyataan itu turut merujuk kepada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa dalam kes Nicaragua lwn. Amerika Syarikat pada 1986 yang menegaskan setiap negara berhak mengendalikan urusan dalamannya tanpa gangguan luar, termasuk dalam menentukan dasar luar negara.

IKIM menjelaskan bahawa perbezaan pandangan atau kritikan antara negara tidak semestinya melanggar undang-undang antarabangsa, namun sebarang tekanan yang bersifat memaksa untuk mempengaruhi dasar sesebuah negara perlu ditolak. Sebaliknya, perbezaan pendirian hendaklah diselesaikan melalui saluran diplomasi, dialog dan mekanisme undang-undang yang sah selaras dengan semangat Piagam PBB.

Mengenai pendirian Malaysia terhadap Palestin, IKIM berkata ia berasaskan prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang mengiktiraf hak semua bangsa untuk menentukan nasib sendiri sebagaimana termaktub dalam Piagam PBB, Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) 1966 serta Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan (ICESCR) 1966.

Menurut kenyataan itu, hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, termasuk hak kepada sebuah negara Palestin yang merdeka, turut ditegaskan melalui Resolusi 80/195 Perhimpunan Agung PBB bertarikh 15 Disember 2025.

IKIM menegaskan bahawa sokongan Malaysia terhadap hak rakyat Palestin tidak seharusnya disalah tafsir sebagai permusuhan terhadap mana-mana bangsa atau agama, sebaliknya merupakan komitmen kepada keadilan, maruah manusia, hak menentukan nasib sendiri dan pematuhan kepada aturan antarabangsa berasaskan undang-undang.

Sehubungan itu, IKIM menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus bersatu mempertahankan maruah, kebebasan dan kedaulatan negara, di samping mengelakkan polemik yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, institusi itu akan terus memainkan peranan menyebarkan kefahaman Islam yang berteraskan keadilan, hikmah dan kesejahteraan sejagat, selain menyokong hubungan antarabangsa yang bebas, berprinsip serta menghormati kedaulatan semua negara.

WhatsApp
Scroll to Top