TH RAIH DUA ANUGERAH PENGURUSAN HARTANAH BERPRESTIJ

KUALA LUMPUR, 23 Julai (IKIM) – Lembaga Tabung Haji (TH) terus mengukuhkan reputasinya dalam pengurusan aset apabila dua hartanah ikonik miliknya menerima pengiktirafan pada The Edge Malaysia Best Managed & Sustainable Property Awards (BMSPA) 2026.

Menara TH Tun Razak muncul pemenang bagi kategori Bangunan Pejabat Bukan Strata (Non-Strata Office), manakala Menara Bank Islam memenangi kategori Bangunan Pejabat Milikan Tunggal dalam Pembangunan Strata Bercampur (Single-Owned Office in a Mixed Strata Development).

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan TH dalam mengurus aset secara profesional, berintegriti dan mampan demi memastikan aset yang diamanahkan terus menjana nilai kepada lebih 9.8 juta pendeposit.

Menurut beliau, pengiktirafan tersebut bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan pengurusan bangunan, malah membuktikan keupayaan TH menggabungkan pengurusan aset yang matang dengan penggunaan teknologi moden, pendigitalan serta amalan kelestarian selaras dengan standard terbaik industri.

Beliau berkata, sebagai institusi yang mengurus amanah umat Islam, setiap aset perlu dipelihara sebaik mungkin agar terus memberi manfaat kepada para pendeposit, masyarakat dan negara dalam jangka panjang.

Menara TH Tun Razak yang menjadi mercu tanda Kuala Lumpur sejak 1985 terus dipertingkatkan melalui pelbagai inisiatif termasuk penaiktarafan kemudahan bangunan, sistem parkir tanpa tunai menggunakan pengecaman nombor pendaftaran kenderaan, peningkatan aspek keselamatan dan akses, selain perancangan pemasangan sistem solar di bawah Pelan Pengurusan Aset Lima Tahun.

Sementara itu, Menara Bank Islam mengekalkan kecemerlangan pengurusan fasiliti menerusi penyelenggaraan proaktif, pemantauan berasaskan keadaan (condition-based monitoring) dan penggunaan sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer i-MANS bagi meningkatkan kecekapan operasi serta pengurusan aset.

Kedua-dua bangunan tersebut diuruskan oleh TH Properties Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh TH.

Pendekatan berkenaan turut berjaya memastikan kebolehpercayaan sistem kritikal bangunan seperti bekalan air, lif dan sistem pencegahan kebakaran, selain mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 6.6 peratus berbanding garis asas tenaga melalui sistem automasi bangunan, pengoptimuman operasi penyaman udara dan penggunaan lampu cekap tenaga.

Tan Sri Abdul Rashid berkata, pengiktirafan itu mengukuhkan komitmen TH untuk terus memperkasa pengurusan aset berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), di samping memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi memastikan aset strategik kekal berdaya saing serta mencipta nilai mampan kepada para pendeposit.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Kumpulan TH atas dedikasi dan komitmen mereka dalam memastikan aset-aset TH diurus mengikut standard tertinggi sehingga menerima pengiktirafan di peringkat industri.

WhatsApp
Scroll to Top