Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA LUMPUR, 23 Julai (IKIM) – MR D.I.Y. hari ini melancarkan MR.DIY Club, program pertamanya yang menawarkan pelbagai ganjaran kepada pelanggan menerusi pembelian harian, pada majlis yang berlangsung di Central Town, MyTOWN Shopping Centre, di sini.
Program ini menawarkan pelbagai manfaat termasuk mata ganjaran bagi setiap pembelian, baucar tunai, ganjaran hari lahir serta akses kepada acara dan bengkel eksklusif.
Naib Presiden Kanan Pemasaran MR D.I.Y., Alex Goh berkata, program berkenaan diwujudkan sebagai tanda penghargaan kepada berjuta-juta rakyat Malaysia yang telah menjadikan rangkaian peruncit itu sebahagian daripada kehidupan seharian mereka.
Beliau berkata, selepas lebih dua dekad beroperasi, pelanggan hadir ke MR D.I.Y. bagi mendapatkan pelbagai keperluan seperti bateri, bahan projek sekolah, alatan pembaikan rumah dan barangan harian.
“Ramai pelanggan kami membeli-belah bersama keluarga. Justeru, kami mahu mewujudkan satu program yang memberi ganjaran bukan sahaja kepada pembeli individu, tetapi juga seluruh isi rumah.
“MR.DIY Club membolehkan keluarga mengumpul mata ganjaran bersama, menikmati nilai yang lebih baik serta berkongsi pengalaman melangkaui urusan membeli-belah di kaunter. Ini merupakan cara kami menghargai sokongan pelanggan yang terus berkembang bersama kami,” katanya.

Menerusi ciri Akaun Keluarga, sehingga lima ahli keluarga boleh menghubungkan keahlian masing-masing di bawah satu akaun bagi menggabungkan mata ganjaran, sekali gus membolehkan ganjaran ditebus dengan lebih cepat.
Ahli MR.DIY Club akan memperoleh satu mata ganjaran bagi setiap RM1 yang dibelanjakan, manakala mata yang dikumpul boleh ditebus sebagai baucar tunai untuk pembelian seterusnya. Ahli baharu turut menerima ganjaran alu-aluan sebanyak 400 mata serta menikmati lima kali ganda mata ganjaran bagi pembelian yang dibuat sepanjang bulan kelahiran mereka.
Selain itu, ahli turut memperoleh satu “Bag” bagi setiap RM20 yang dibelanjakan yang memberikan akses kepada pelbagai acara dan bengkel eksklusif. Bagi Akaun Keluarga, jumlah “Bag” yang diperoleh akan digabungkan bagi membolehkan seluruh keluarga menikmati manfaat tersebut.
Majlis pelancaran itu turut dimeriahkan dengan kehadiran duta jenama MR D.I.Y., Shaheizy Sam dan isterinya, Syatilla Melvin yang hadir bersama keluarga bagi memeriahkan acara serta beramah mesra dengan para pengunjung.
Pengunjung yang hadir di Central Town, MyTOWN Shopping Centre turut disajikan dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk PANDAi Match, pertandingan mewarna, sesi permainan serta pelbagai lagi aktiviti menarik yang dianjurkan bagi memeriahkan sambutan dan mengeratkan hubungan antara MR D.I.Y. dengan pelanggan.




