JABATAN PENDAKWAAN SYARIAH MALAYSIA DI FASA AKHIR PEMBENTUKAN – DR ZULKIFLI

PUTRAJAYA, 15 Julai (IKIM) – Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia kini berada di fasa akhir sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri selepas proses mendapatkan ulasan daripada pelbagai pihak selesai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata kerajaan kini sedang memperhalusi cadangan itu dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan negeri, memandangkan hal ehwal Islam berada di bawah bidang kuasa negeri.

Menurut beliau, proses libat urus bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan negeri-negeri telah dilaksanakan dengan baik bagi memastikan penubuhan jabatan itu memenuhi keperluan semasa sistem pendakwaan syariah negara.

“Alhamdulillah, kita berada di fasa akhir, namun masih perlu mendapatkan ulasan daripada pelbagai pihak sebelum cadangan ini dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. Selepas mendapat kelulusan dasar, barulah ia akan dibawa ke peringkat seterusnya.

Usaha ini merupakan usaha bersama, bukannya hanya oleh JKSM semata-mata. Kita sentiasa mengambil kira pandangan negeri-negeri dalam memastikan pelaksanaannya benar-benar memberi manfaat kepada sistem perundangan syariah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia (PePSSM) Kali Ke-2 Tahun 2026 di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir majlis Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli dan Pengarah/Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, Mohamad Zakian Dio.

Terdahulu dalam ucapannya, Zulkifli berkata persidangan yang menghimpunkan Ketua-Ketua Pendakwa Syarie dan pegawai pendakwa syariah dari seluruh negara itu menjadi platform penting untuk memperkukuh sistem pendakwaan syariah menerusi perkongsian ilmu, dialog serta pembentangan oleh pakar-pakar perundangan.

Beliau berkata kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri semakin kukuh dalam usaha meningkatkan kecekapan, kompetensi serta profesionalisme pendakwa syariah agar sistem pendakwaan syariah negara menjadi lebih tersusun dan sistematik.

Mengulas isu penguatkuasaan terhadap individu yang mengajar agama secara dalam talian tanpa tauliah, Zulkifli berkata ketika ini setiap negeri mempunyai kuasa mengawal selia pentauliahan mengajar agama, termasuk mengambil tindakan seperti memberi amaran atau tidak memperbaharui tauliah terhadap individu yang melanggar syarat ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau mengakui aspek penyampaian kuliah dan ceramah agama menerusi media sosial masih memerlukan penelitian lanjut dari sudut perundangan.

“Kita sedang melihat bagaimana perkara ini boleh diberi perhatian kerana penyampaian agama secara dalam talian memerlukan peruntukan undang-undang yang lebih kemas dan sesuai dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan komited menambah baik undang-undang syariah termasuk dalam aspek jenayah siber dan penyampaian agama di platform digital bagi memastikan ia kekal relevan dengan cabaran semasa serta menjaga kesucian institusi agama di negara ini.

WhatsApp
Scroll to Top