KUALA LUMPUR, 15 Julai (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mencadangkan pembangunan Pelan Induk Wakaf Zurri sebagai kerangka nasional bagi memperkukuh pengurusan pewarisan harta Islam secara lebih sistematik, inovatif dan mampan.
Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman berkata, wakaf zurri atau wakaf keluarga berpotensi menjadi instrumen strategik dalam sistem pewarisan Islam kontemporari, namun masih belum dimanfaatkan secara meluas walaupun mempunyai asas syariah yang kukuh serta sejarah yang panjang dalam tamadun Islam.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Persidangan Pelan Induk Wakaf Zurri: Mengemudi Inovasi Wakaf Dalam Ekosistem Perancangan Pewarisan Kontemporari di IKIM, hari ini.
Turut hadir majlis Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.
Menurut beliau, ekosistem ekonomi Islam global terus berkembang dengan nilai aset industri kewangan Islam mencecah kira-kira USD4.4 trilion pada tahun 2025.
Dalam konteks itu, wakaf perlu dilihat sebagai sebahagian daripada sistem ekonomi Islam yang menyeluruh, bukan sekadar instrumen kebajikan, sebaliknya sebagai mekanisme membina manfaat berpanjangan serta melindungi kekayaan keluarga dan masyarakat.

Beliau turut menjelaskan bahawa antara cabaran utama pengurusan harta umat Islam ialah kegagalan membuat perancangan awal sehingga menyebabkan peningkatan harta pusaka tidak dituntut dan aset yang tidak dapat dimanfaatkan. Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan waris, malah mengakibatkan kehilangan nilai ekonomi yang besar kepada umat Islam dan negara.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Pelan Induk Wakaf Zurri perlu dibangunkan melalui penambahbaikan dasar dan perundangan, tadbir urus yang lebih moden, pembangunan produk berasaskan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), peningkatan literasi masyarakat serta kerjasama strategik antara kerajaan, Majlis Agama Islam Negeri, institusi kewangan, industri dan universiti.

Beliau berkata IKIM komited menjadi jambatan antara penyelidikan, dasar dan pelaksanaan bagi memastikan idea-idea yang dibincangkan dalam persidangan diterjemahkan kepada pelan tindakan yang komprehensif.
Pelan Induk Wakaf Zurri diharap mampu menjadi dokumen rujukan utama negara dalam memperkukuh sistem pewarisan Islam dan memberi manfaat kepada umat Islam di Malaysia pada masa hadapan.
Kredit foto: Fatkhulmungin Mohd Yusof




