PUTRAJAYA, 15 Julai (IKIM) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan dakwaan bahawa pihaknya atau mana-mana Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) pernah melantik sebuah pertubuhan untuk menguruskan atau memperakukan urusan pernikahan di negara ini.
JAKIM dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil semakan mendapati dokumen yang dikaitkan dengan pertubuhan berkenaan bukan merupakan dokumen yang diiktiraf atau dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa agama Islam di Malaysia.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menggunakan dokumen berkenaan bagi sebarang urusan berkaitan perkahwinan atau hal ehwal agama Islam.
Menurut JAKIM, orang ramai juga disaran agar sentiasa membuat semakan dengan JAKIM atau Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri sebelum mempercayai sebarang dokumen berkaitan urusan agama Islam yang diragui kesahihannya.
JAKIM turut mengingatkan masyarakat supaya mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi bagi mengelakkan menjadi mangsa penyebaran maklumat palsu atau penipuan yang boleh menjejaskan kepentingan serta kedudukan undang-undang berkaitan hal ehwal Islam di negara ini.




