Oleh: Haziq Izzuddin Abdullah
SEPANG, 1 Julai (IKIM) – Tiada kes penipuan pakej haji mahupun badal haji direkodkan setakat ini sepanjang musim haji 1447H/2026M hasil pemantauan yang dilaksanakan pihak berkuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata kejayaan itu dicapai menerusi pemantauan secara menyeluruh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta tindakan pengawasan terhadap iklan dan tawaran di platform media sosial.
“Alhamdulillah, hasil kerjasama bersepadu antara Lembaga Tabung Haji (TH), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa lain, tahun ini kita merekodkan sifar kes penipuan.
“Bukan sahaja penipuan pakej haji, malah tiada juga kes penipuan melibatkan badal haji yang dilaporkan sepanjang musim haji kali ini,” katanya ketika sidang media sebelum menyambut ketibaan jemaah haji Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan usaha penguatkuasaan, pemantauan dan kempen kesedaran yang dijalankan secara berterusan bagi melindungi orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan.

Sehubungan itu, kerajaan akan meneruskan kerjasama strategik bersama TH, PDRM dan agensi berkaitan bagi memperkukuh usaha membanteras sindiket penipuan haji pada musim-musim akan datang.
Dalam pada itu, Zulkifli turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat berkaitan urusan haji melalui saluran rasmi TH serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang menjanjikan kuota haji atau pakej pada harga yang mencurigakan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kadar bakal jemaah yang menangguhkan pemergian ke Tanah Suci berjaya dikurangkan kepada 18 peratus pada musim ini berbanding 50 peratus pada tahun lalu.
“Pengurangan itu dicapai selepas TH mengambil beberapa langkah proaktif termasuk memberi notis lebih awal kepada bakal jemaah serta meningkatkan khidmat nasihat dan persediaan sebelum musim haji.
Turut hadir menyambut para jemaah haji ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli serta Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.




