KUALA LUMPUR, 1 Julai (IKIM) – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Kempen Cabutan Prime Bonanza dengan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM500,000 sebagai galakan kepada masyarakat untuk terus membudayakan amalan menabung melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN Prime).
Kempen yang berlangsung dari 1 Julai hingga 31 Oktober 2026 itu merupakan penghargaan kepada pendeposit yang terus komited memilih Simpan SSPN Prime sebagai instrumen simpanan pendidikan, di samping menggalakkan lebih ramai ibu bapa membuat persediaan awal bagi membiayai pengajian tinggi anak-anak.
Ketua Eksekutif PTPTN berkata, kempen berkenaan menawarkan hadiah menarik kepada 106 pemenang menerusi dua kategori iaitu Platinum dan Gold.
Bagi kategori Platinum, hadiah utama ialah sebuah Jaecoo J7 2WD PHEV, diikuti hadiah wang tunai RM50,000 dan RM30,000, selain 50 hadiah saguhati berupa wang tunai RM1,000.

Sementara itu, kategori Gold menawarkan hadiah utama sebuah Proton X50 Flagship, hadiah wang tunai RM30,000 dan RM10,000, serta 50 hadiah saguhati bernilai RM500 setiap satu.
Menurut PTPTN, pendeposit hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen untuk melayakkan diri menyertai cabutan. Setiap simpanan bersih RM100 dalam Simpan SSPN Prime melayakkan pendeposit menerima 10 peluang cabutan, manakala simpanan yang dibuat melalui aplikasi myPTPTN, potongan gaji atau debit terus akan menerima 20 peluang cabutan bagi setiap RM100 simpanan bersih.
Pendeposit juga perlu memastikan akaun Simpan SSPN Prime kekal aktif serta tidak membuat pengeluaran atau pindahan simpanan sepanjang tempoh pengekalan bermula 1 November 2026 hingga 31 Januari 2027.
Ketua Eksekutif PTPTN berkata, Kempen Cabutan Prime Bonanza mencerminkan komitmen berterusan organisasi itu dalam menghargai kepercayaan pendeposit, selain menjadi pemangkin untuk menggalakkan budaya menabung secara konsisten sebagai persediaan awal pembiayaan pendidikan tinggi generasi masa depan.

Dalam perkembangan sama, PTPTN turut meraikan pemenang utama Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2026 dan Kempen Simpan SSPN Baru Slay!. Pemenang utama Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus Siri 1 membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, manakala pemenang Kempen Simpan SSPN Baru Slay! memenangi sebuah motosikal Yamaha NVX 155.
Simpan SSPN merupakan produk simpanan pendidikan yang menawarkan pelbagai manfaat kepada pendeposit termasuk pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan serta mematuhi prinsip syariah.
Selain itu, menerusi Belanjawan 2025, kerajaan turut memperluaskan kelayakan Geran Padanan Ihsan (GAPAI) kepada keluarga berpendapatan sehingga RM6,000 sebulan bagi tempoh dua tahun. Inisiatif itu membolehkan pendeposit yang layak memohon geran sepadan sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk membantu pembiayaan pendidikan tinggi anak-anak.




