OPERASI HAJI MALAYSIA 1447H BERAKHIR LANCAR, 258 JEMAAH HAJI SELAMAT TIBA

Oleh: Haziq Izzuddin Abdullah

SEPANG, 1 Julai (IKIM) – Seramai 258 jemaah haji Malaysia kumpulan penerbangan terakhir selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menandakan berakhirnya ibadah haji Malaysia bagi musim 1447H/2026M.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata kumpulan jemaah itu tiba pada jam 12.10 tengah hari menerusi penerbangan Malaysia Airlines (MH 8375) yang berlepas dari Madinah pada 10.14 malam (waktu Arab Saudi) Selasa.

Zulkifli berkata operasi haji tahun ini berlangsung dengan lancar meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk konflik di Asia Barat.

“Alhamdulillah, semua jemaah haji kita selamat pergi dan pulang dengan baik tanpa sebarang peningkatan kos kepada jemaah. Semua urusan berjalan lancar hasil kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkaitan,” katanya pada sidang media menyambut ketibaan kumpulan terakhir jemaah haji di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji (TH) turut menubuhkan jawatankuasa khas sejurus menerima maklumat mengenai konflik di Asia Barat bagi memantau serta menangani sebarang isu yang dapat menjejaskan operasi haji.

“Jawatankuasa khas ini telah menyediakan pelbagai perancangan dan langkah intervensi bagi memastikan kita sentiasa bersedia mendepani sebarang perubahan dan cabaran. Pendekatan ini akan diteruskan sebagai persediaan menghadapi musim haji akan datang,” katanya.

Dalam pada itu Zulkifli berkata, TH telah memulakan proses penilaian pasca operasi bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan meskipun pengurusan haji negara telah menerima pengiktirafan antarabangsa.

Tambah beliau, Muzakarah Haji Kebangsaan akan diadakan pada Ogos depan bagi membincangkan isu-isu berkaitan ibadah haji serta cadangan penambahbaikan bagi musim haji akan datang.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli serta Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

WhatsApp
Scroll to Top