TANJONG MALIM, 16 Jun (IKIM) – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir hari ini melancarkan buku “UPSI Berduka” sebuah naskhah dokumentasi khas yang merakam insiden kemalangan bas membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada 9 Jun tahun lalu yang mengorbankan 15 nyawa.
Zambry dalam ucapannya berkata penerbitan buku tersebut bukan sekadar mendokumentasikan satu tragedi yang menyayat hati, malah menjadi manifestasi penghormatan kepada mangsa dan keluarga yang terkesan, selain memperlihatkan kekuatan semangat kebersamaan yang ditunjukkan pelbagai pihak ketika berdepan saat sukar itu.
“Tragedi ini meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh warga pendidikan tinggi negara. Penerbitan UPSI Berduka membolehkan pengalaman dan pengajaran yang diperoleh daripada peristiwa tersebut terus dipelihara sebagai rujukan kepada generasi akan datang.
Lebih penting, buku ini mengangkat nilai kemanusiaan, solidariti dan keprihatinan yang dizahirkan oleh masyarakat, agensi kerajaan serta institusi pendidikan dalam menghadapi satu ujian yang amat besar,” katanya pada majlis berkenaan di Bilik DiRaja, Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, hari ini.
Buku itu menghimpunkan kronologi kejadian, pengalaman pelajar yang terselamat, luahan hati waris, kisah pengorbanan sukarelawan, anggota penyelamat dan petugas barisan hadapan yang terlibat sejak hari pertama tragedi berlaku.

Buku itu turut memuatkan dokumentasi tujuh fasa pengurusan krisis yang dilaksanakan UPSI bersama pelbagai agensi dalam usaha menguruskan kebajikan mangsa, waris dan komuniti yang terkesan sepanjang tempoh tragedi tersebut.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata penerbitan “UPSI Berduka” adalah usaha universiti untuk memastikan peristiwa yang pernah menguji ketabahan seluruh warga kampus itu terus diingati sebagai satu pengajaran yang amat bermakna.
“Buku ini lahir daripada rasa tanggungjawab untuk merakamkan sejarah yang berlaku dalam keluarga besar UPSI. Ia bukan sekadar catatan tentang kehilangan, tetapi juga kisah kekuatan, pengorbanan dan kebersamaan yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak.
Kami berharap naskhah ini dapat menjadi sumber rujukan kepada masyarakat, khususnya dalam aspek pengurusan krisis, selain menjadi penghargaan yang berkekalan kepada mangsa, waris serta semua yang terlibat dalam usaha membantu ketika tragedi tersebut berlaku,” katanya.
Menurut Pengarah Penerbit UPSI, Prof Madya Dr Nordiana Hamzah buku “UPSI Berduka” diterbitkan oleh Penerbit UPSI untuk tatapan masyarakat umum dan menjadi rujukan mereka tentang insiden yang menyayat hati dan mendapat simpati rakyat Malaysia.




