FELDA, FGV TERAJUI PENGUKUHAN PASARAN KARBON PERTANIAN MELALUI MPC2026

Oleh: Muhammad Suhairi Fakri

KUALA LUMPUR, 16 Jun (IKIM) – Industri sawit negara terus memperkukuh kedudukan dalam agenda kelestarian global apabila FELDA bersama FGV Holdings Berhad menerajui penganjuran Malaysia Palm Carbon Conference 2026 (MPC2026) di Grand Ballroom, Menara FELDA, yang dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Persidangan ini menjadi platform strategik yang menghimpunkan pemain industri, pembuat dasar, penyelidik serta komuniti peneroka bagi meneroka peluang baharu dalam pasaran karbon pertanian, selain memperkukuh kerjasama awam-swasta ke arah rantaian nilai sawit yang lebih mampan dan berdaya saing.

Fokus utama MPC2026 adalah kepada pembangunan pasaran karbon melalui penjanaan kredit karbon serta pengiktirafan ladang sawit sebagai penyerap karbon semula jadi, selaras dengan usaha negara memperkukuh ekonomi rendah karbon.

Dalam ucapannya, Arthur menegaskan bahawa tahun ini merupakan fasa pelaksanaan penting dalam agenda perubahan iklim negara selepas pelbagai dasar dan pelan hala tuju telah digariskan sebelum ini.

“Tahun ini adalah tahun pelaksanaan. Sebelum ini, dasar, roadmap, agenda semuanya sudah ditentukan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan telah melancarkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan pada April lalu sebagai kerangka untuk menginstitusikan pasaran karbon di Malaysia, serta akan membentangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim ke Dewan Rakyat dalam tahun ini.

Menurut beliau, penyertaan sektor sawit dalam agenda iklim negara adalah amat penting, khususnya dalam usaha mengiktiraf ladang-ladang sawit sebagai penyumbang kepada penyerapan karbon serta penjana kredit karbon.

Beliau turut menegaskan bahawa FELDA yang mengurus lebih 900,000 hektar ladang sawit di seluruh negara serta Malaysian Palm Oil Board (MPOB) merupakan antara pemain utama dalam industri sawit negara yang perlu terus memainkan peranan proaktif dalam agenda perubahan iklim.

Selain itu, beliau turut menekankan bahawa industri sawit bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek ladang, malah turut merangkumi sektor pemprosesan dan hiliran yang berpotensi besar dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau melalui amalan industri yang lebih mampan.

Persidangan ini turut memberi penekanan kepada pemerkasaan ekonomi bio kitaran melalui pengoptimuman sisa biomas sawit kepada produk bernilai tinggi, sekali gus mengurangkan impak alam sekitar dan menjana sumber ekonomi baharu negara.

MPC2026 turut menjadi medan pertemuan antara pembuat dasar, akademik dan pemain industri bagi menggembleng idea, inovasi serta kerjasama strategik dalam memastikan agenda iklim negara dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

Kehadiran delegasi antarabangsa dari Algeria, Thailand, Singapura, Filipina, Nigeria dan Jepun pula mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju utama industri sawit mampan di peringkat global.

WhatsApp
Scroll to Top