Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA LUMPUR, 16 Jun (IKIM) – Kerajaan menjangkakan fenomena El Nino akan mula memberi kesan kepada negara bermula Jun ini hingga tahun hadapan, sekali gus berpotensi menyebabkan pengurangan taburan hujan, peningkatan suhu serta menjejaskan sektor pertanian termasuk industri kelapa sawit.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, perubahan iklim kini bukan lagi satu isu yang dipertikaikan kerana masyarakat semakin menerima hakikat bahawa fenomena tersebut sedang berlaku dan memberi kesan nyata kepada kehidupan serta ekonomi negara.
Menurut beliau, Malaysia dijangka berdepan keadaan cuaca yang lebih ekstrem susulan peralihan kepada fenomena El Nino yang diramalkan bermula pada pertengahan tahun ini.
“Antara kesan yang dijangka berlaku ialah pengurangan kadar taburan hujan sehingga 40 peratus di beberapa negeri tertentu selain peningkatan suhu yang lebih panas daripada biasa,” katanya ketika berucap di Conference Malaysia Palm Carbon Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung di Menara Felda hari ini.

Beliau berkata, keadaan tersebut boleh memberi risiko kepada paras air empangan serta menjejaskan hasil pengeluaran sektor pertanian termasuk industri kelapa sawit yang menjadi antara penyumbang utama ekonomi negara.
Sehubungan itu, kerajaan akan memastikan setiap ramalan cuaca dan amaran awal disampaikan kepada agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta kerajaan negeri bagi membolehkan langkah persediaan dilaksanakan lebih awal.
“Persediaan ini penting sekiranya berlaku bencana seperti kebakaran ladang dan kebakaran hutan yang sering dikaitkan dengan musim cuaca kering,” katanya.
Arthur berkata, kerajaan juga bersedia melaksanakan langkah intervensi seperti operasi pembenihan awan bagi mengurangkan kesan kemarau yang berpanjangan, terutama ketika fenomena El Nino berada pada tahap yang membimbangkan.
Menurut beliau, operasi pembenihan awan kini semakin kerap digunakan sebagai antara mekanisme utama negara dalam menangani kekurangan hujan dan memastikan bekalan air kekal mencukupi.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama serantau bagi menangani risiko jerebu rentas sempadan yang lazimnya meningkat ketika musim kering.
“Pada awal Julai nanti, saya akan mewakili negara ke Mesyuarat ASEAN Transboundary Haze untuk menyampaikan hasrat Malaysia bekerjasama dengan negara jiran dalam usaha mengurangkan risiko jerebu yang mungkin berlaku sepanjang musim El Nino,” katanya.
Beliau berharap langkah kesiapsiagaan, intervensi awal serta kerjasama antara kementerian, agensi dan negara serantau dapat membantu mengurangkan impak perubahan iklim, sekali gus melindungi kesejahteraan rakyat dan kelangsungan sektor ekonomi negara.




