JOHOR, 12 Jun (IKIM) – Inisiatif Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) yang diperkenalkan kerajaan mulai tahun ini dijangka memberi manfaat kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar dalam usaha memperkukuh akses pendidikan tinggi negara.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan tiada pelajar yang layak tercicir daripada melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) akibat kekangan kewangan.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan BAeK PTPTN membolehkan pinjaman PTPTN diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih dan mengikuti pengajian peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa di IPTA bermula 1 Januari 2026.
Inisiatif tersebut susulan pengumuman oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM120 juta setahun bagi menyediakan biasiswa atau pendidikan percuma kepada pelajar daripada keluarga miskin. Jumlah penerima kemudiannya ditingkatkan daripada 5,800 kepada 10,000 pelajar menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
BAeK PTPTN ditawarkan kepada pelajar warganegara Malaysia berumur tidak melebihi 25 tahun, mempunyai akaun Simpan SSPN yang aktif serta memenuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan.
Pelajar yang layak akan menerima biasiswa sebanyak RM4,750 setahun bagi peringkat Diploma, RM6,180 setahun bagi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sastera dan RM6,650 setahun bagi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sains.
Majlis Penyerahan Biasiswa Anak eKasih PTPTN kepada para pelajar telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di Johor hari ini.
Turut hadir Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid serta Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Johor, Mazni Ruslan.
Sejak diperkenalkan pada awal tahun ini hingga 31 Mei lalu, seramai 402 pelajar di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif tersebut melibatkan peruntukan berjumlah RM8.79 juta.
PTPTN berkata, pelaksanaan BAeK PTPTN membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan latar belakang sosioekonomi bukan penghalang kepada peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Inisiatif itu juga diharap dapat menjadi pemangkin kecemerlangan akademik pelajar, membantu mereka memulakan kerjaya tanpa beban hutang pendidikan serta menyumbang kepada usaha mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi secara berperingkat.




