SUNGAI PETANI, 7 Jun (IKIM) – Program pembangunan dan pemerkasaan asatizah muda perlu diteruskan secara konsisten bagi melahirkan golongan pendakwah yang mampu menjadi agen pencerahan dan pencerdasan masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Beliau berkata usaha tersebut penting dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja memiliki kefahaman agama yang baik, malah mampu membimbing masyarakat berdepan pelbagai cabaran semasa.

Menurut beliau, program himpunan dan pengisian ilmiah melibatkan asatizah muda yang diadakan di Kedah berjaya menghimpunkan hampir 2,000 peserta serta menyediakan pelbagai pengisian yang bermanfaat.
“Ini bukan sekadar majlis berselawat, tetapi turut mengandungi pelbagai wacana keilmuan dan pencerahan berkaitan isu-isu semasa termasuk hal ehwal ekonomi dan kemasyarakatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual wartawan dalam program Himpunan Asatizah Muda (HAMKA) yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari di sini hari ini.

Zulkifli berkata program seumpama itu merupakan platform penting untuk mencetuskan gelombang kebangkitan asatizah muda yang boleh memainkan peranan sebagai agen perubahan dalam masyarakat.

Katanya, kerajaan bercadang memperluaskan penganjuran program tersebut ke seluruh negara selepas kejayaan pelaksanaannya di beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Kedah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha susulan perlu diberikan perhatian khusus bagi memastikan anak-anak muda yang berminat dalam bidang dakwah dan kepimpinan masyarakat terus dibimbing secara berterusan.

“Peranan asatizah muda bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi juga membimbing generasi muda supaya menjadikan kebaikan dan kesejahteraan sebagai matlamat hidup,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan memperkasakan literasi maklumat dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda, agar mereka mampu menilai kesahihan maklumat yang diterima sebelum membuat sebarang keputusan.

Menurutnya, cabaran semasa yang melibatkan isu ekonomi, sosial dan penyebaran maklumat yang tidak tepat memerlukan masyarakat lebih berhati-hati serta mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan berautoriti.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama erat antara institusi agama, pendidik, asatizah muda dan media dapat terus diperkukuh bagi melahirkan masyarakat yang berilmu, berfikiran kritis dan berupaya menyumbang kepada pembangunan negara.

Program HAMKA ini dimulakan dengan ucaptama Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil yang bertajuk Masa Depan Islam di Malaysia diikuti sesi townhall bersama Zulkifli Hasan, Taufik Johari dan Pengerusi Daie MADANI, Amir Zuhair Abdull Khalid.




