IKIMFM RANGKA STRATEGI TARIK MINAT GENERASI Z

Oleh: Muhammad Suhairi Fakri

KUALA LUMPUR, 9 Jun (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini menganjurkan Bengkel Libat Urus Strategik Anak Muda dan Bukan Islam sebagai platform menghimpunkan pelbagai pandangan daripada generasi Z bagi memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap Islam serta memanfaatkan media dan teknologi digital sebagai pemangkin keharmonian.

Bengkel selama sehari itu berlangsung di International Youth Centre (IYC) Kuala Lumpur yang menghimpunkan golongan belia daripada pelbagai latar belakang termasuk wakil pertubuhan belia, institusi pengajian tinggi dan komuniti bukan Islam bagi bertukar-tukar pandangan dan idea dalam usaha untuk meningkatan peranan IKIMfm dalam kalangan generasi Z.

Program tersebut turut memberi penekanan kepada usaha memperkasa penglibatan anak muda dalam menyokong kandungan media Islam, khususnya dalam meningkatkan capaian dan jumlah pendengar IKIMfm, agar lebih dekat dengan citarasa serta gaya hidup generasi Z.

Peserta turut diminta memberikan cadangan strategik dan kreatif bagi membantu penjenamaan semula pendekatan kandungan radio supaya lebih segar, interaktif dan relevan dengan trend digital semasa tanpa mengabaikan nilai dakwah dan kefahaman Islam.

Dalam sesi pembentangan awal, penganjur turut berkongsi mengenai peranan media dan komunikasi dalam mendekati generasi muda, sebelum peserta dibahagikan kepada kumpulan bengkel untuk membincangkan idea-idea baharu yang boleh dilaksanakan secara praktikal.

Perbincangan dalam bengkel itu memfokuskan kepada kaedah memperkasakan penglibatan belia dalam program kemasyarakatan, dialog antara agama islam dan bukan islam serta strategi meningkatkan daya tarikan IKIMfm dalam kalangan anak muda melalui platform digital, media sosial dan kandungan audio kreatif.

Pengarah Pusat Media IKIM, Haji Ahmad Fuad Mat Ali berkata bengkel tersebut bukan sekadar platform bertukar pandangan, sebaliknya menjadi langkah awal untuk menterjemahkan cadangan yang dikemukakan kepada tindakan yang boleh dilaksanakan termasuk usaha memperkukuh kedudukan IKIMfm dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata semua cadangan yang dikemukakan akan diteliti sebelum dibentangkan kepada pihak pengurusan IKIM untuk dipertimbangkan, dengan keutamaan diberikan kepada idea yang boleh disegerakan serta memberi impak langsung terhadap peningkatan keterlibatan anak muda dan pendengar radio.

“Strategi kita bukan hanya berteori, tetapi bagaimana idea itu boleh dilaksanakan. Kita akan pilih cadangan yang realistik, sesuai dengan kemampuan dan sumber yang ada, termasuk idea untuk memperkukuh daya tarikan IKIMfm kepada generasi muda dan bukan Islam,” katanya.

Ahmad Fuad turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta atas komitmen dan penglibatan aktif mereka sepanjang bengkel yang disifatkan sebagai input penting dalam merangka strategi baharu media IKIM yang lebih inklusif dan mesra generasi muda.

Seorang peserta berbangsa Cina, Go, 21, berkata beliau dapat mengetahui banyak perkara baharu mengenai IKIMfm melalui bengkel ini selain berpeluang memahami lebih dekat peranan dan pendekatan radio tersebut.

“Saya dapat mengetahui banyak perkara baharu mengenai IKIMfm melalui bengkel ini, selain berpeluang memahami lebih dekat peranan dan pendekatan radio tersebut,” katanya.

Hasil bengkel tersebut dijangka menjadi input utama kepada IKIM dalam merangka pendekatan baharu pengisian media dan radio, selaras dengan usaha memperkukuh kefahaman Islam, memperluas capaian dakwah media serta meningkatkan relevansi IKIMfm dalam kalangan generasi muda di Malaysia.

WhatsApp
Scroll to Top