PROGRAM MADANI ANAK MUDA PERKUKUH SEMANGAT KASIH SAYANG DAN NILAI ISLAM DALAM KALANGAN GENERASI MUDA

SUNGAI PETANI, 7 Jun (IKIM) – Generasi muda diseru menjadikan perjuangan Rasulullah SAW yang berteraskan kasih sayang sebagai panduan dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, mesej utama yang dibawa oleh perjuangan baginda SAW ialah kasih sayang, kemanusiaan, kerahmatan serta usaha memperjuangkan kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program MADANI Anak Muda Berselawat yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah.

Turut hadir program ini Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil; Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan,Tuan Guru Pondok Melele, Jitra, Kedah, Syeikh Jamil Tajuddin al-Jarumi dan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ustaz Haji Ahmad Fauwaz Fadzil.

Menurut beliau, perjuangan Rasulullah SAW bukan sekadar menegakkan syiar Islam, malah menekankan aspek kasih sayang yang menjadi asas kepada keamanan dan kesejahteraan masyarakat.

“Perjuangan Baginda adalah untuk memperjuangkan kasih sayang, kemanusiaan, kedamaian dan kerahmatan. Sebab itu para ulama sering mengingatkan bahawa perjuangan Rasulullah SAW berpaksi kepada kasih sayang,” katanya.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama IKIM, IPG Kampus Sultan Abdul Halim dan Majlis Dakwah Negara (MDN) itu turut menghimpunkan ratusan anak muda, mahasiswa serta para asatizah.

Dalam pada itu, beliau berkata program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyemarakkan penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan generasi muda menerusi pendekatan yang dekat dengan jiwa mereka.

Katanya, Program MADANI Anak Muda Berselawat akan diperluaskan ke seluruh negara bagi menyantuni golongan belia serta menyebarkan mesej perpaduan, kasih sayang dan keharmonian dalam masyarakat.

“Insya-Allah program ini akan diteruskan ke negeri-negeri lain bagi mencetuskan gelombang kebangkitan anak muda yang mampu menjadi ejen perubahan dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berharap lebih ramai anak muda dapat terlibat dalam program seumpama itu bagi memperkukuh jati diri, nilai keagamaan dan semangat kebersamaan dalam membangunkan negara.

Jurugambar: Mohamad Daniel Syafiq

WhatsApp
Scroll to Top