ISTANBUL, Turki, 7 Jun – Felo Kehormat Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Noor Amy Ismail telah mewakili Wahed dalam forum antarabangsa yang membincangkan usaha memperkasa wanita dalam ekosistem keusahawanan di peringkat global.
Beliau menyertai barisan pemimpin dan pakar dari Turki, Mesir, Azerbaijan, Qatar serta beberapa negara lain dalam sesi panel bertemakan Inclusive Entrepreneurship: Advancing Women in the Entrepreneurship Ecosystem sempena program İnovasyonda Kadın anjuran Islamic Cooperation Youth Forum (ICYF) di Istanbul.
Dalam perkongsiannya Noor Amy menegaskan bahawa walaupun isu kesaksamaan gender masih menjadi cabaran di banyak negara, Malaysia menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dalam usaha memperkasa wanita melalui keusahawanan.

Menurut beliau, semakin ramai usahawan wanita di Malaysia berjaya mengembangkan perniagaan masing-masing hasil sokongan ekosistem yang semakin kukuh, termasuk akses kepada pembiayaan, latihan, teknologi dan jaringan perniagaan.
“Perbincangan ini mengingatkan kita bahawa memperkasakan wanita bukan sekadar menyediakan pembiayaan atau menggubal dasar. Lebih penting ialah membina ekosistem yang membolehkan bakat, cita-cita dan tujuan mereka berkembang secara mampan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan forum berkenaan sebagai platform penting untuk bertukar pandangan, berkongsi amalan terbaik serta memperkukuh kerjasama antara negara anggota dalam memperkasakan wanita sebagai pemacu pembangunan ekonomi dan sosial.

Noor Amy turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur serta rakan-rakan ahli panel atas peluang dan perbincangan yang disifatkan beliau sebagai sangat bermakna dan bermanfaat.
Program tersebut menghimpunkan tokoh, penggubal dasar, usahawan dan pemimpin muda dari pelbagai negara bagi membincangkan strategi memperkukuh penyertaan wanita dalam bidang inovasi, teknologi dan keusahawanan sejajar dengan matlamat pembangunan mampan dunia Islam.




