SENDAYAN, 16 Mei (IKIM) – Majlis Belia Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan menganjurkan Konvensyen Belia Kebangsaan 2026 (KBK2026) bersempena Sambutan Hari Belia Negara 2026 bagi menghimpunkan golongan muda membincangkan isu keamanan dunia, keselamatan perdagangan dan maritim serta cabaran global semasa.

Konvensyen yang berlangsung di Pandan Hall, d’Tempat Country Club di sini hari ini membawa tema “World Peace: Protecting Trade and Maritime Security in the Strait of Malacca to Ensure Peace & Stability” dan menekankan kepentingan peranan belia dalam mempertahankan keamanan serta kestabilan dunia.

Pengarah Program, Muhammad Syahmi Shamsudin menegaskan bahawa Selat Melaka bukan sekadar laluan maritim penting dunia, malah menjadi penghubung utama antara negara, ekonomi dan tamadun global. Justeru, keamanan dan kestabilan kawasan itu perlu dipelihara secara bersama termasuk oleh generasi muda.

Ahmad Farhan Rosli, Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia pula berpandangan cabaran dunia masa kini seperti konflik geopolitik, ketidaktentuan ekonomi, perubahan iklim dan gangguan teknologi memerlukan golongan belia yang memiliki kesedaran global, persediaan intelektual dan pegangan moral yang kukuh.
Katanya, pandangan Recep Tayyip Erdoğan menerusi ungkapan “The world is bigger than five” sebagai seruan ke arah sistem dunia yang lebih adil dan inklusif, selain mengetengahkan idea Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai pembangunan berteraskan nilai, keadilan dan maruah insan.

Antara pengisian utama program ialah sesi Firechat bertajuk “The Digital Generation in a Changing ASEAN” yang menampilkan Presiden Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia, Dato’ Sri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata golongan belia perlu didedahkan dengan perkembangan semasa kerana situasi global memberi kesan besar kepada negara yang memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa.
“Yang pertama perlu ada pengetahuan dan kesedaran tentang implikasi apa yang berlaku kepada negara kita. Yang kedua, perlu ada kemampuan untuk sama ada menangkis ataupun mempertahankan kedudukan negara. Dan akhir sekali, harus ada kemampuan untuk merancang bagi menangani isu-isu semasa,” katanya.
Menurut beliau, usaha menangani cabaran global tidak boleh hanya diserahkan kepada pembuat dasar atau kerajaan semata-mata, sebaliknya pandangan dan idea generasi muda perlu diberikan perhatian dalam memastikan pendekatan yang lebih inklusif.

Tambahnya, lebih banyak program melibatkan belia perlu dianjurkan supaya kerajaan dapat memperoleh input secukupnya daripada golongan muda sebelum sesuatu dasar dilaksanakan.

Turut diadakan forum gaya World Economic Forum bertajuk “A Borderless World, A Vulnerable Generation: Rethinking Youth Security” dengan penyertaan beberapa panel termasuk Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia, Ashwad Ismail, CEO Asian Strategy & Leadership Institute, Danial Abd Rahman serta pencipta kandungan digital Syed Abdullah Syed Abdul Rahman.

Turut hadir Nurul Izzah Dato’ Seri Anwar memberi ucaptama dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.

Menurut MBM, penganjuran konvensyen itu bertujuan memberi kefahaman kepada belia mengenai kepentingan keamanan dunia, hubungan diplomatik serta peranan generasi muda dalam menangani cabaran global demi memastikan masa depan dunia yang lebih stabil, aman dan bermaruah.




