SEREMBAN, 15 Mei (IKIM) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa masjid bukan sekadar binaan yang indah, sebaliknya institusi penting dalam membina kekuatan iman, memupuk tanggungjawab sosial dan memperkukuh kesejahteraan ummah.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program Solat Jumaat bersama Perdana Menteri dan Majlis Penyerahan Cek Cura Peruntukan Pembangunan Syiar Islam Negeri Sembilan Tahun 2026 di Masjid Sri Sendayan.

Turut hadir majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan dan Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee.
Menurut beliau, firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat 18 menjelaskan bahawa orang yang memakmurkan masjid ialah mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, mendirikan solat, menunaikan zakat serta tidak takut melainkan kepada Allah SWT.

Perdana Menteri berkata hubungan antara solat dan zakat menggambarkan keseimbangan antara tanggungjawab kepada Allah SWT dan tanggungjawab terhadap masyarakat, khususnya dalam membela golongan miskin dan memelihara keadilan sosial.

Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah negara bergantung kepada keutuhan iman, keberanian moral dan kesungguhan untuk melakukan pembaharuan demi kesejahteraan rakyat.

Dalam majlis yang sama, kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyalurkan peruntukan sebanyak RM47,743,200 kepada Negeri Sembilan bagi melaksanakan pelbagai program dan inisiatif berkaitan hal ehwal Islam sepanjang tahun 2026.

Sementara itu Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee berkata peruntukan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasa syiar Islam dan memartabatkan agenda pendidikan Islam selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM42,327,100 diperuntukkan bagi bayaran imbuhan dan elaun kepada imam, bilal, siak, guru takmir serta Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA). Peruntukan ini turut merangkumi sumbangan khas sekali bayar sebagai penghargaan kepada para murabbi ummah yang berperanan besar dalam memperkukuh pendidikan Islam di peringkat akar umbi.

Selain itu, RM5,416,100 diperuntukkan bagi projek penyelenggaraan dan naik taraf institusi pendidikan Islam menerusi Bantuan Selenggara dan Naik Taraf (SNT).

Inisiatif tersebut akan memberi manfaat kepada 57 institusi agama di Negeri Sembilan yang melibatkan dua institusi pondok, 18 Maahad Tahfiz, 11 sekolah agama dan 26 premis KAFA yang beroperasi di bangunan bukan milik kerajaan.

Menurut JAKIM, skop pembiayaan meliputi enam kluster utama iaitu keselamatan, penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur, pencegahan kebakaran, pendawaian elektrik, penyelenggaraan bangunan serta sistem perpaipan.

Kerajaan MADANI berharap peruntukan Pembangunan Syiar Islam ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi memperkukuh institusi pendidikan Islam, meningkatkan kefahaman dan penghayatan ajaran Islam, serta melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan sejahtera.




