IKIMFM SEMARAKKAN MUSIM HAJI DAN AIDILADHA 1447H DENGAN PELBAGAI PENGISIAN KHAS

KUALA LUMPUR, 15 Mei (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) melalui stesen radio IKIMfm memperhebatkan sambutan musim haji dan Hari Raya Aidiladha 1447H menerusi pelbagai pengisian khas yang dirangka untuk meningkatkan kefahaman serta penghayatan masyarakat terhadap ibadah haji dan korban.

Kempen Haji dan Aidiladha itu menghimpunkan pelbagai bentuk siaran termasuk rancangan bual bicara, kapsul ilmu, siaran langsung, laporan semasa dan pengisian kerohanian yang akan disiarkan sepanjang musim haji dan Aidiladha.

Antara program utama yang disediakan ialah rancangan khas “Serasi” dan “Tahsinul Ibadah” yang membincangkan pelbagai isu berkaitan ibadah haji dan korban. Turut disiarkan kapsul Soal Jawab Ibadah Korban bersama Ustaz Ahmad Lutfi Muharram bagi membantu pendengar memahami hukum dan tatacara pelaksanaan ibadah korban dengan lebih jelas.

Selain itu, pendengar juga dapat mengikuti siaran “Talbiah Haji” pada setiap permulaan jam sepanjang musim haji, program tahunan “Debaran Mabrur”, siaran langsung Khutbah Arafah menerusi siaran silang bersama TV AlHijrah serta laporan penerbangan pergi dan pulang jemaah haji Malaysia hasil kerjasama dengan Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata ibadah haji dan korban bukan sekadar ritual, tetapi simbol ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan yang perlu dihayati oleh seluruh masyarakat.

Menurut beliau, ibadah tersebut bukan hanya melibatkan pelaksanaan fizikal, sebaliknya merupakan perjalanan jiwa yang mendalam dan menuntut kefahaman yang tepat agar umat Islam dapat benar-benar menghayati hikmah di sebaliknya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Haji dan Aidiladha semasa siaran luar khas IKIMfm di Menara Alor Setar pada 7 Mei lalu sempena sambutan ulang tahun ke-25 stesen radio tersebut.

Tambah beliau, kempen berkenaan dirangka secara menyeluruh bagi membawa pendengar mendekati suasana musim haji dan Aidiladha melalui pelbagai bentuk siaran yang bersifat informatif dan spiritual.

Menurutnya lagi, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan memberi kefahaman yang tepat kepada masyarakat, malah membantu mengelakkan salah faham berkaitan ibadah haji dan korban serta menghidupkan penghayatan Aidiladha dalam kehidupan seharian.

IKIMfm berharap keseluruhan pengisian sepanjang musim haji dan Aidiladha ini dapat menjadi medium ilmu, refleksi dan penghayatan kepada para pendengar dalam memahami nilai pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah SWT.

WhatsApp
Scroll to Top