PMKS PERLU BERANI BERSTRATEGI HADAPI KETIDAKTENTUAN EKONOMI GLOBAL – FUZIAH

KUALA LUMPUR, 15 Mei (IKIM) – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) disaran supaya tidak takut berdepan ketidaktentuan ekonomi global, sebaliknya mengambil peluang untuk berkembang melalui strategi yang tepat, inovasi dan kerjasama yang kukuh.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata dunia perniagaan kini berhadapan pelbagai cabaran termasuk konflik geopolitik, tekanan inflasi, perubahan teknologi yang pesat, peningkatan kos operasi dan perubahan tingkah laku pengguna.

Menurut beliau, keadaan tersebut telah mengubah landskap perniagaan secara drastik, justeru hubungan strategik antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti antarabangsa amat penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Seven Mega Growth Strategies 2026 bertemakan “Navigating Business Growth in Times of Global Uncertainty” anjuran KNKV Group di Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Pengerusi KNKV Group, Datuk Seri Dr. Zurainah Musa; Ketua Pegawai Eksekutif KNKV Group, Prof. (Adjung.) Hj. Adam Richman serta wakil dari Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, Datuk Wan Azmir Wan Majid.

Fuziah berkata, ramai syarikat mengambil langkah defensif ketika ekonomi mencabar, termasuk mengurangkan operasi dan bajet pemasaran, sedangkan keterlihatan jenama atau visibility merupakan faktor penting untuk memastikan sesebuah perniagaan terus relevan dan dipercayai pengguna.

Katanya, platform seperti Seven Mega Growth Strategies 2026 membantu usahawan memahami bahawa krisis bukan sekadar masa untuk bertahan, tetapi peluang untuk berkembang melalui strategi yang tersusun.

Kerajaan MADANI, katanya, kekal komited membantu rakyat dan memperkukuh ekosistem perdagangan negara melalui pelbagai inisiatif, termasuk Program Jualan RAHMAH MADANI yang memastikan rakyat memperoleh barangan keperluan pada harga lebih rendah sambil membantu peniaga meningkatkan jualan.

Selain itu, pelbagai inisiatif Payung RAHMAH seperti Menu Rahmah dan Pakej Rahmah terus diperkasakan bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat, di samping usaha penguatkuasaan untuk memastikan perdagangan negara kekal adil, telus dan berintegriti.

Fuziah turut menekankan kepentingan aspek legal preparedness dan strategic visibility dalam dunia perniagaan moden. Menurut beliau, ramai usahawan kehilangan keuntungan secara senyap atau “silent profit leakage” akibat kontrak yang lemah, dokumentasi tidak lengkap, perlindungan hak syarikat yang tidak mencukupi serta kegagalan mengurus risiko sejak awal.

Beliau berkata, kejayaan syarikat hari ini bukan hanya bergantung kepada produk yang baik, tetapi juga keupayaan membina pengaruh, menjaga kredibiliti, menguasai positioning dan kekal relevan dalam pasaran yang semakin kompetitif.

Kerajaan akan terus memperkasa PMKS kerana sektor tersebut merupakan tulang belakang ekonomi negara serta penyumbang besar kepada peluang pekerjaan rakyat Malaysia.

Beliau berharap lebih banyak jenama tempatan dapat berkembang menjadi pemain serantau dan global melalui kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, pemain industri dan komuniti antarabangsa.

“Jangan takut dengan ketidaktentuan. Dalam setiap cabaran, sentiasa ada peluang besar untuk mereka yang bersedia, berstrategi dan berani bertindak,” katanya.

WhatsApp
Scroll to Top