Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA LUMPUR, 15 Mei (IKIM) – Konsep santai dan mesra keluarga yang diketengahkan oleh Lepaking SIX7 berjaya menarik perhatian ramai apabila premis itu menerima sambutan memberangsangkan sempena majlis perasmiannya pada Khamis.
Majlis perasmian disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali yang memuji pendekatan perniagaan berkenaan kerana membuka peluang kepada usahawan bumiputera khususnya dalam sektor makanan dan minuman (F&B).

Beliau berkata konsep yang diketengahkan bukan sahaja memberi ruang kepada ushawan muda menceburi bidang perniagaan, malah menyediakan suasana sesuai untuk keluarga meluangkan masa bersama.
“Model ataupun konsep perniagaan ini amat baik kerana ia dapat memberikan ruang kepada ramai usahawan dan peniaga tempatan. Konsep ini bukan hanya untuk orang muda, tetapi premis ini juga menyediakan kemudahan untuk keluarga datang bersama-sama,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Sementara itu, Pengarah Urusan Lepaking SIX7, Ameerul Ikhwan Fozee berkata Lepaking SIX7 merupakan penjenamaan baharu kepada jenama Lepaking yang telah beroperasi sejak sedekad lalu.
Katanya, perubahan nama itu dilakukan bagi memberi fokus kepada konsep “family dining” yang lebih selesa dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
“Sekarang kita membuat penjenamaan baharu iaitu bertukar kepada Lepaking SIX7 bagi memfokuskan tema family dining,” katanya.

Tambah beliau, premis itu menawarkan lebih 400 menu menerusi 19 gerai makanan yang mempunyai kepakaran tersendiri sekali gus memudahkan pelanggan menikmati pelbagai pilihan makanan dalam satu lokasi.

Selain menyediakan ruang makan yang luas dan selesa, Lepaking SIX7 turut dilengkapi bilik permainan khas untuk kanak-kanak bagi memberi keselesaan kepada ibu bapa ketika menikmati hidangan.




