54 KAPAL GLOBAL SUMUD FLOTILLA MULA BELAYAR MENUJU GAZA

KUALA LUMPUR, 14 Mei (IKIM) – Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) kini memasuki fasa akhir apabila 54 kapal mula berlepas dari Pelabuhan Marmaris, Turkiye menuju ke Gaza kira-kira jam 7.30 malam waktu Malaysia hari ini.

Menurut SNCC, pelayaran itu berlangsung sehari sebelum sambutan Peristiwa Nakba pada 15 Mei yang memperingati 78 tahun penderitaan rakyat Palestin sejak tahun 1948.

Misi kemanusiaan berkenaan melibatkan hampir 500 peserta antarabangsa daripada 45 negara yang digerakkan pelbagai kumpulan aktivis kemanusiaan dunia dengan sokongan beberapa negara termasuk Malaysia, Turkiye, Sepanyol dan Brazil.

SNCC turut memaklumkan lebih 40 peserta daripada enam negara Nusantara termasuk Malaysia, Indonesia, Pakistan, India, Sri Lanka dan Filipina menyertai pelayaran fasa akhir itu.

Daripada jumlah tersebut, seramai 29 peserta Malaysia terdiri daripada tenaga profesional pelbagai bidang termasuk pegawai perubatan, kapten kapal, kru dan juruteknik meneruskan misi pelayaran dari Marmaris ke Gaza.

Dalam masa sama, SNCC mengesahkan lima kapal daripada Freedom Flotilla Coalition (FFC) turut bergabung dalam misi berkenaan.

SNCC turut menjelaskan tahap keselamatan misi kini semakin kritikal apabila laluan memasuki perairan Gaza dikategorikan sebagai Zon Merah susulan analisis risiko keselamatan terkini.

Selain itu, SNCC menyeru rakyat Malaysia terus menyebarkan maklumat sahih mengenai Palestin serta melaksanakan solat hajat, Qunut Nazilah dan munajat berterusan demi keselamatan delegasi misi dan kejayaan usaha pembebasan Gaza.

WhatsApp
Scroll to Top