KUALA LUMPUR, 13 Mei (IKIM) – Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Centre for Artificial Intelligence and Robotics (CAIRO) meraikan bakat inovasi mahasiswa seluruh negara menerusi majlis penutup dan pameran akhir GREAT Innovation Challenge (GIC) yang berlangsung di Residensi Grand Banquet Hall, UTM Kuala Lumpur.
Pertandingan berskala nasional yang dilancarkan pada September 2025 itu mencabar pelajar universiti dan kolej di Malaysia untuk menambah baik mesin kitar semula plastik kepada sistem mekanikal yang lebih pintar, mudah alih dan diperkasa dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menukar sisa plastik kepada produk bernilai.

Inisiatif tersebut bertujuan menggalakkan pembangunan penyelesaian inovatif yang menyokong kelestarian alam sekitar melalui penggunaan teknologi dan kreativiti anak muda.
Majlis penutup itu menghimpunkan pelajar universiti, pakar industri dan pemimpin akademik dalam program sehari yang bukan sahaja mengiktiraf inovator terbaik, malah memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai AI dan teknologi canggih.
Para finalis turut mempamerkan prototaip inovasi masing-masing dengan membentangkan konsep, fungsi dan potensi impak kepada masyarakat. Penilaian dibuat berdasarkan aspek inovasi, reka bentuk teknikal, kebolehgunaan, ujian dan pengesahan serta kesan sosial dan alam sekitar.

Wakil Dilantik Great Eastern Takaful, Jasveen Kaur Marne berkata GREAT Innovation Challenge mencerminkan komitmen syarikat untuk memperkasa generasi muda dengan ilmu, kemahiran dan minda yang diperlukan bagi menghadapi dunia digital yang semakin kompleks.
“Melalui gabungan inovasi dan tujuan yang jelas, kami berharap dapat menginspirasikan penyelesaian yang bukan sahaja memajukan teknologi, tetapi juga memberi impak bermakna kepada masyarakat.
Di Great Eastern Takaful, kami bukan sekadar menyediakan perlindungan takaful, malah komited melahirkan pemimpin masa depan yang mampu memacu perubahan positif serta menyumbang kepada persekitaran yang lebih lestari,” katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Kampus Cawangan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Profesor Dr. Fauziah Sh. Ahmad; Pengarah CAIRO, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Ibrahim Shapiai; Pengarah Unit Pengurusan Penyelidikan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh dan Pengarah Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar IKIM, Prof. Madya Ts. Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes .
Dalam pertandingan itu, pasukan Vanta muncul juara keseluruhan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 menerusi penyelesaian yang menonjol dari segi inovasi, fungsi dan kebolehgunaan di dunia sebenar.
Tempat kedua dimenangi Green AI Innovator yang menerima RM8,000, manakala PVD meraih tempat ketiga dengan hadiah RM5,000. Dua lagi pasukan, Codespark dan Monoglobal, menerima hadiah saguhati.

Fauziah berkata pertandingan itu menyediakan platform penting kepada pelajar untuk menterjemahkan idea kepada inovasi yang nyata dan praktikal.
“Melalui proses penilaian, ujian dan penilaian fungsi yang rapi, peserta dapat membangunkan penyelesaian yang bukan sahaja kreatif, tetapi juga boleh diperluas dan memberi impak.
Kerjasama bersama Great Eastern Takaful membuka peluang bermakna untuk menunjukkan bagaimana integrasi AI dan teknologi dapat membantu menangani cabaran alam sekitar serta menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan,” katanya.

GREAT Innovation Challenge terus menjadi platform untuk membina kemahiran masa hadapan, merapatkan jurang antara akademia dan industri, serta menggalakkan inovasi praktikal yang selari dengan cabaran dunia sebenar.
Melalui inisiatif ini, Great Eastern Takaful mengukuhkan komitmennya untuk memperkasa komuniti, meningkatkan literasi kewangan dan digital, serta menyokong pembangunan generasi muda Malaysia.




