Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA LUMPUR, 13 Mei (IKIM) – Lebih RM400 juta dana zakat yang diagihkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) setakat 12 Mei 2026 kini menampakkan hasil apabila 88 graduan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-32 hari ini.
Dana tersebut disalurkan menerusi 38 skim bantuan dengan sebahagiannya digunakan untuk membiayai pendidikan kemahiran asnaf di IKB. Sejak ditubuhkan pada tahun 1990-an, institut ini telah melahirkan lebih 3,000 graduan yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata kejayaan graduan hari ini membuktikan dana zakat tidak hanya diagihkan, tetapi dilaburkan untuk melahirkan tenaga kerja mahir.
“Alhamdulillah hari ini kita menyaksikan anak-anak kita diraikan dengan kejayaan-kejayaan dan juga alumni-alumni IKB yang menunjukkan kecemerlangan daripada sudut keusahawanan dan juga di lapangan pekerjaan,” katanya.

Beliau menegaskan model IKB adalah contoh terbaik bagaimana zakat boleh dimanfaatkan secara produktif dan berimpak tinggi serta turut memuji ketelusan MAIWP dalam menguruskan dana umat Islam.
“Jadi kita ucapkan tahniah kepada IKB dan juga MAIWP yang mengusahakan, yang melaksanakan program ini yang telah menyumbang sangat signifikan kepada masyarakat dan negara.

Alhamdulillah MAIWP cemerlang dari sudut audit, dari sudut tatakelola, governance (tadbir urus) dan juga transparency (ketelusan).
MAIWP telah pun menunjukkan satu konsistensi dan juga benchmark (penanda aras) dan best practices (kaedah terbaik) untuk agihan zakat di negara kita,” katanya ketika ditemui selepas majlis.

Beliau berharap lebih ramai asnaf merebut peluang melanjutkan kemahiran di IKB bagi keluar daripada kitaran kemiskinan.




