KUALA LUMPUR, 12 Mei — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan hari ini berkata tindakan menghina sahabat Nabi Muhammad SAW adalah haram dan berdosa besar.
“Mencaci mereka bererti menghina insan yang tegakkan Islam bersama Nabi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata sahabat Baginda adalah generasi terbaik dan dipuji oleh Allah SWT serta mengingatkan semua pihak supaya menghormati dan sayangi para sahabat Rasulullah SAW selain menjauhi fitnah terhadap mereka.
“Pelihara lidah dan penulisan daripada mencemarkan kemuliaan para sahabat Rasulullah,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhamad Zawawi Salleh didakwa mengeluarkan kenyataan seolah-olah menghina dan mempersendakan kewibawaan beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW.
Sumber: BERNAMA




