PEMBELAJARAN BAHASA ARAB KUKUHKAN HUBUNGAN IKIMfm BERSAMA PENDENGAR

KUALA LUMPUR, 12 Mei (IKIM) — Institut Kefahaman Islam Malaysia, IKIM hari ini menganjurkan Bengkel Bahasa Arab Komunikasi di Dewan Persidangan IKIM bagi membantu peserta meningkatkan keyakinan bertutur dalam Bahasa Arab secara lebih praktikal dan berkesan.

Program yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang itu menampilkan dua tenaga pengajar berpengalaman, Ustaz Ashafizrol Ab Hamid dan Ustaz Nik Ahmad Khalif Nik Ahmad Rizal. Bengkel turut diselaraskan oleh Datin Mona Jasman, Pengurus Rancangan IKIMfm merangkap penerbit segmen Bahasa Arab di IKIMfm.

Sementara itu, Pengarah Pusat Media IKIM, Tuan Haji Ahmad Fuad Mat Ali berkata bengkel tersebut bukan sekadar mengulang asas bahasa Arab, tetapi menjadi platform untuk mengukuhkan keyakinan peserta menggunakan bahasa itu secara aktif dalam komunikasi harian.

Menurut beliau, “Bahasa Arab bukan hanya ilmu yang difahami, tetapi bahasa yang perlu digunakan dengan yakin dan spontan dalam kehidupan seharian.”

Beliau turut berharap peserta dapat memanfaatkan bengkel itu untuk memperkukuh kemahiran sedia ada serta terus menjadikan bahasa Arab sebagai medium komunikasi yang hidup dan relevan.

WhatsApp
Scroll to Top