UPSI PERKUKUH AGENDA WAKAF PENDIDIKAN MENERUSI PERLETAKAN KUBAH I-FURQAN

TANJONG MALIM, 8 Mei (IKIM) – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh agenda wakaf pendidikan menerusi Majlis Perletakan Kubah Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (i-Furqan) yang berlangsung di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Tanjong Malim, hari ini.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata pembangunan institut berkenaan melambangkan komitmen universiti dalam memperkasakan pendidikan Islam secara holistik melalui sinergi wakaf, penyelidikan dan kerjasama strategik bersama sektor korporat.

Menurut beliau, projek yang dibiayai sepenuhnya melalui dana wakaf dengan pewakaf utama Yayasan Rafulin itu juga merupakan kesinambungan kepada visi mantan Naib Canselor UPSI kelima, Allahyarham Prof. Datuk Dr. Zakaria Kasa, yang memperjuangkan integrasi ilmu wahyu dan akademik di negara ini.

“Institut ini akan menjadi pusat kecemerlangan ilmu yang menggabungkan tradisi turath Islami dengan penyelidikan akademik moden di peringkat dunia,” katanya.

Beliau berkata UPSI komited menjadikan i-Furqan sebagai pusat rujukan utama dalam bidang tahfiz dan turath Islami yang mampu melahirkan generasi ilmuwan Islam berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Ia bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi lambang usaha UPSI dalam membina ekosistem pendidikan yang mampan serta berteraskan nilai ilmu, wakaf dan pembangunan insan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengarah Urusan Yayasan Rafulin, Datuk Mohamed Raffe Chekku.

Turut hadir ialah Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Opir; Pengurus Besar Bahagian Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Norfazilah Bawadi; serta wakil Pejabat Agama Islam Daerah Muallim.

Sementara itu, Pengarah Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Sedekah dan Khairat (WEZAS) UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif berkata pemasangan kubah utama institut itu menampilkan konsep seni bina Islam kontemporari dengan sentuhan eksklusif “Rafulin Signature”.

Menurut beliau, kubah berdiameter lima meter itu menggunakan kemasan oxidized copper premium dari Jerman, iaitu bahan yang sama digunakan dalam pembinaan Masjid Raja Lumu.

“Struktur kubah ini mempunyai berat kira-kira 600 kilogram dengan ketinggian 2.2 meter dan diperkukuh melalui tiga lapisan utama melibatkan aluminium, lapisan kalis air dan tembaga bagi memastikan ketahanan serta nilai estetika yang tinggi.

“Bahagian pinnacle berwarna emas setinggi 1.6 meter pula melengkapkan keseluruhan struktur sekali gus menyerlahkan elemen kemegahan seni bina Islam moden di bumi Muallim,” katanya.

Pembangunan i-Furqan yang ditadbir urus oleh WEZAS UPSI dijangka siap dan mula beroperasi pada awal tahun 2027.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UPSI dalam memperkasakan wakaf pendidikan serta memperkukuh kedudukannya sebagai pusat rujukan utama ilmu tahfiz dan turath Islami yang unggul di peringkat global.

WhatsApp
Scroll to Top