Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
ALOR SETAR, 7 Mei 2026 (IKIM) – Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) telah berjaya melaksanakan siaran luar khas dari Menara Alor Setar bersempena sambutan ulang tahun ke-25 dengan mengangkat tema “IKIMfm 25 Tahun Inspirasiku” melalui siaran yang langsung dari jam 5.00 pagi hingga 4.00 petang menampilkan pelbagai pengisian khas antaranya slot Inspirasi Pagi, Kembara Inspirasi dan sesi temubual khas.
Slot Inspirasi Pagi yang bersiaran dari jam 5.00 pagi hingga 11.00 pagi telah dikendalikan oleh Tyzo Xander, Datin Mona Jasman dan Ahmad Al Mushin. Segmen ini menyampaikan pengisian berteraskan motivasi, perkongsian santai serta perbincangan isu semasa yang disampaikan secara langsung dari lokasi siaran.
Siaran diteruskan dengan slot Kembara Inspirasi dari jam 11.00 pagi hingga 4.00 petang bersama Suffian Amrin, Syafiq Salleh dan Hafiz Hamidun bersama tetamu jemputan, kumpulan Simfoni dengan mempersembahkan nyanyian akustika.

Pengisian utama siaran luar kali ini ialah temubual khas bersama Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dato” Dr Mohamed Azam Mohamed Adil yang menyentuh peranan institusi dalam memperkukuh kefahaman Islam serta cabaran semasa dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat.
Mohamed Azam berkata IKIMfm terus memperkukuh peranannya sebagai platform penyiaran Islamik yang mendidik masyarakat sempena sambutan ulang tahun ke-25 tahun ini. Sepanjang dua dekad bersiaran, IKIMfm bukan sahaja menyampaikan kefahaman Islam yang sebenar, malah turut menghidangkan kandungan berbentuk kerohanian kepada pendengar.
“Tahun ini IKIMfm menyambut ulang tahun ke-25. Selama 25 tahun, IKIMfm telah bersiaran 24 jam tanpa henti dengan menyajikan kefahaman Islam yang sebenar bersifat wasatiyyah serta menghiburkan pendengar dengan lagu-lagu berunsur ukhrawi,” katanya.

Menurut beliau, antara kekuatan utama IKIMfm adalah kandungannya yang bukan sahaja menghiburkan, malah mampu mendidik minda dan jiwa masyarakat pelbagai lapisan. Penubuhan IKIM juga bertujuan memberi kefahaman Islam yang tepat kepada seluruh rakyat tanpa mengira agama.
“Ini menjadi salah satu keistimewaan dan kekuatan IKIMfm apabila program-programnya mendidik minda dan jiwa. IKIM ditubuhkan untuk memberi kefahaman Islam bukan sahaja kepada orang Islam, tetapi juga kepada bukan Islam,” ujar beliau.
Turut berlangsung ialah sesi temubual khas bersama Pengurus Besar Kedah Tourism, Mohd Zaidy Omar yang berkongsi mengenai potensi pelancongan negeri Kedah serta tarikan ikonik di Menara Alor Setar.
Selain itu, sesi temubual berasingan turut diadakan bersama Ketua Bahagian Wakaf Menteri Agama Islam Kedah, Ahmad Zaki Ghazali yang menyentuh mengenai peranan institusi wakaf serta usaha memperkasakan pembangunan Islam di negeri Kedah.

Siaran luar ini turut menyaksikan pelancaran Kempen Haji dan Aidiladha IKIMfm 1447H/2026 sebagai salah satu inisiatif berterusan dalam menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat.
Dalam pada itu siaran luar IKIMfm di Menara Alor Setar ini berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam menyampaikan kandungan berinformasi dan berinspirasi, di samping memperkukuh peranan IKIMfm sebagai medium penyebaran dakwah yang relevan sempena sambutan 25 tahun penubuhannya.
IKIMfm ditubuhkan pada 2001 dengan bermula sebagai sebuah stesen radio berteraskan dakwah yang memfokuskan kepada penyebaran ilmu, nilai murni dan kefahaman Islam kepada masyarakat umum. Sepanjang tempoh 25 tahun hingga kini, IKIMfm kekal konsisten sebagai medium radio islamik nombor satu di Malaysia.




