INDUSTRI MEDIA TUMPU CABARAN ERA DIGITAL DI FORUM HAWANA 2026

KUALA LUMPUR, 7 Mei (IKIM) – Lebih 200 pengamal media, ahli akademik, penggiat perhubungan awam serta pelajar institusi pengajian tinggi berhimpun di ibu negara hari ini bagi menghadiri Forum Media HAWANA 2026 yang membincangkan cabaran kelangsungan industri media dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI).

Program anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu turut menghimpunkan ketua organisasi media dari Sabah dan Sarawak, wakil agensi media asing di Malaysia serta pelbagai pihak berkepentingan dalam landskap media negara.

Forum berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Antara figura media yang berkongsi pandangan ialah Ketua Pegawai Kandungan Star Media Group Berhad, Datin Paduka Esther Ng, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Media Prima Berhad Farrah Naz Abd Karim, serta Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Ashwad Ismail dalam sesi perbincangan mengenai kelangsungan industri media ketika krisis.

Sesi seterusnya turut membincangkan perubahan landskap media serta masa depan industri dalam era digital dan AI, dengan penyertaan pengamal media, pakar teknologi dan wakil industri.

Buat julung kalinya, Forum Media HAWANA diadakan selama sehari bagi memperkukuh perbincangan serta pertukaran idea secara lebih mendalam dalam kalangan pemain industri.

Forum ini diadakan bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 pada 20 Jun depan.

WhatsApp
Scroll to Top