PTPTN UMUM DIVIDEN SIMPAN SSPN 4.10 PERATUS, TERTINGGI DALAM TEMPOH 11 TAHUN

KUALA LUMPUR, 6 Mei (IKIM) – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini mengumumkan agihan dividen Skim Simpan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun 2025 sebanyak 4.10 peratus, sekali gus memberikan pulangan yang lebih kompetitif kepada para pendeposit.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim dalam satu majlis di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. Kadar dividen tersebut merupakan yang tertinggi dalam tempoh 11 tahun, meningkat berbanding 4.05 peratus yang diumumkan bagi tahun 2024.

Agihan dividen itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 6.07 juta akaun pendeposit melibatkan peruntukan sebanyak RM505.68 juta. Secara keseluruhan, jumlah agihan dividen Simpan SSPN sejak diperkenalkan pada tahun 2004 kini mencecah RM2.63 bilion.

Menurut PTPTN, dividen berkenaan akan dikreditkan terus ke dalam akaun pendeposit dan semakan boleh dibuat melalui aplikasi myPTPTN bermula 7 Mei 2026.

Peningkatan kadar dividen ini mencerminkan kecekapan pengurusan dana oleh PTPTN yang berlandaskan tadbir urus yang baik serta strategi pelaburan patuh syariah yang mantap. Antara pendekatan yang dilaksanakan termasuk pelaburan dalam pasaran wang dan sukuk tempatan serta pengurusan risiko yang berkesan bagi memastikan pulangan yang stabil dan optimum.

Prestasi tersebut turut menunjukkan pulangan bersih pelaburan yang positif, lebih tinggi berbanding kadar Overnight Policy Rate (OPR) yang kekal pada paras 2.75 peratus sepanjang tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Simpan SSPN terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila jumlah deposit bagi tahun 2025 meningkat kepada RM3.33 bilion berbanding RM3.17 bilion pada tahun sebelumnya. Lebih 500,000 akaun baharu turut dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan deposit terkumpul sehingga akhir Disember 2025 sebanyak RM23.88 bilion.

Selain menawarkan pulangan dividen yang kompetitif, Simpan SSPN kekal sebagai instrumen simpanan pendidikan yang menarik dengan pelbagai kelebihan termasuk pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma serta geran sepadan kerajaan.

Melalui Belanjawan 2025, kerajaan turut memperluaskan kelayakan Geran Sepadan menerusi inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI) kepada keluarga berpendapatan antara RM4,000 hingga RM6,000, sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat menikmati manfaat simpanan pendidikan ini.

PTPTN menegaskan komitmennya untuk terus memastikan pengurusan dana yang mampan serta memberikan pulangan terbaik kepada pendeposit, selaras dengan usaha memperkukuh akses pendidikan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

WhatsApp
Scroll to Top