IKIM ANJUR MUZAKARAH PAKAR, TEKANKAN HUKUMAN ALTERNATIF BERTERASKAN PEMULIHAN PESALAH

KUALA LUMPUR, 6 Mei (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini menganjurkan Muzakarah Pakar Pemulihan Pesalah Melalui Hukuman Alternatif: Cabaran dan Harapan yang menghimpunkan pakar, ahli akademik, penggubal dasar serta wakil agensi dan pertubuhan bukan kerajaan.

Muzakarah tersebut dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Haji Othman yang menegaskan bahawa pendekatan hukuman dalam Islam bukan sekadar bersifat punitif, tetapi merangkumi aspek pencegahan, pendidikan serta pemulihan pesalah.

Menurut beliau, sistem keadilan jenayah kini menyaksikan anjakan paradigma ke arah pendekatan lebih menyeluruh yang menekankan pembinaan semula insan dan reintegrasi pesalah ke dalam masyarakat, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Beliau turut menjelaskan bahawa pemulihan pesalah merupakan teras penting dalam mengurangkan kadar pengulangan jenayah, yang bukan sahaja melibatkan perubahan tingkah laku, tetapi juga pembinaan nilai, sikap dan kesedaran diri.

Dalam konteks Malaysia, usaha pemulihan dilaksanakan secara sistematik oleh Jabatan Penjara Malaysia melalui Program Pembangunan Insan serta pelaksanaan program komuniti seperti parol dan Perintah Kehadiran Wajib (PKW), yang terbukti berkesan mengurangkan kadar residivisme.

Selain itu, pendekatan hukuman alternatif turut diperluas dalam sistem Mahkamah Syariah dengan memberi penekanan kepada keadilan restoratif yang lebih mendidik dan memulihkan pesalah.

Beliau turut menekankan kepentingan sokongan masyarakat dalam memastikan kejayaan proses reintegrasi pesalah, khususnya dalam menangani stigma sosial yang boleh mendorong kepada pengulangan jenayah.

Muzakarah ini diteruskan dengan pembentangan oleh Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil diikuti Pengarah Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara Malaysia, KP Mohd Andri Md Ridzwan dan Pengarah/Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaaan Sayriah Wilayah Persekutuan (JAPENSWP), Abd Razak Mat Nayan bersama moderator Felow Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik IKIM, Cik Wan Roslili Abd. Majid.

WhatsApp
Scroll to Top