TH SALUR MANFAAT RM48,000 KEPADA WARIS JEMAAH HAJI MENINGGAL DUNIA DI MAKKAH

KUANTAN, 5 Mei (IKIM) – Lembaga Tabung Haji (TH) menyalurkan manfaat perlindungan TH Khairat berjumlah RM48,000 kepada waris seorang jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Makkah baru-baru ini.

Sumbangan tersebut disampaikan kepada Muhammad Syakir, anak kepada Allahyarham Mohamad Nor Sulaiman yang merupakan jemaah haji musim 1447H/2026M pertama yang kembali ke rahmatullah akibat komplikasi jantung pada Jumaat lalu.

Allahyarham, 65, yang berasal dari Desa Teratai, Muadzam Shah dilaporkan rebah ketika berada di dataran Masjidil Haram semasa menunaikan solat fardu Jumaat sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Jiwar Jabal Omar, Makkah.

Menurut TH, Allahyarham telah mencarum dua polisi di bawah skim TH Khairat dengan jumlah caruman sebanyak RM48 setahun, yang melayakkan beliau menerima manfaat sebanyak RM24,000. Jumlah tersebut digandakan kepada RM48,000 sebagai keistimewaan khusus kepada jemaah haji.

TH turut mengadakan ziarah ke rumah waris bagi menyampaikan sumbangan serta memberi sokongan moral kepada keluarga Allahyarham. Ziarah tersebut diketuai oleh Pengarah TH Negeri Pahang, Haji Rosdi Dollah dan turut diisi dengan bacaan tahlil bersama ahli keluarga.

Dalam pada itu TH memaklumkan akan melaksanakan badal haji bagi pihak Allahyarham pada musim haji kali ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kebajikan terhadap jemaah.

TH juga menegaskan komitmen berterusan untuk menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia secara menyeluruh, termasuk memastikan waris menerima sokongan dari segi emosi, kebajikan dan manfaat perlindungan.

Turut hadir majlis tersebut ialah wakil Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB), Mohd Faiz Zaki, serta Ahli Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah, Dato’ Ir. Razali Kassim.

WhatsApp
Scroll to Top