56 KAPAL GLOBAL SUMUD FLOTILLA MULAKAN PELAYARAN MENUJU GAZA

KUALA LUMPUR, 28 April (IKIM) – Sebanyak 56 kapal di bawah misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) telah memulakan pelayaran dari Pelabuhan Catania, Itali menuju ke perairan antarabangsa dalam usaha menyampaikan bantuan ke Gaza.

Menurut kenyataan Sumud Nusantara Command Center (SNCC), armada tersebut terbentuk hasil penggabungan strategik antara 40 kapal dari Barcelona dengan kumpulan kapal dari Itali, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat secara signifikan.

Walau bagaimanapun, beberapa kapal masih menjalani proses pembaikan teknikal di pelabuhan berkenaan dan dijangka akan menyertai semula armada utama sebaik selesai.

Dalam perkembangan sama, seramai 36 rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi ini dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan bersemangat tinggi. Mereka terdiri daripada jurutera kapal, kapten, pasukan perubatan, kru serta penganjur dan peserta.

SNCC turut memaklumkan berlaku penyesuaian tugasan melibatkan tiga delegasi Malaysia susulan kerosakan beberapa kapal. Delegasi berkenaan telah selamat kembali ke tanah air dan kini akan berkhidmat di pangkalan SNCC di Sepang yang berfungsi sebagai pusat operasi serantau melibatkan tujuh negara.

Dalam pada itu, SNCC menegaskan komitmen berterusan untuk menjayakan misi kemanusiaan ini serta menyeru rakyat Malaysia agar terus memberikan sokongan moral dan mendoakan keselamatan seluruh armada.

Orang awam dan pihak media juga disaran merujuk kepada SNCC sebagai sumber rasmi bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai misi tersebut.

WhatsApp
Scroll to Top