GENERASI MUDA DIGESA MENJADI PEMIMPIN BERPRINSIP DAN TAHAN CABARAN

Oleh: Muhammad Suhairi Fakri

KUALA LUMPUR, 27 April 2026 (IKIM) – Program Leadership Summit Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur hari ini menjadi platform strategik dalam memperkukuh kepimpinan belia, khususnya dalam memperkasa peranan generasi muda dalam sektor pendidikan, kepimpinan dan pembangunan negara.

Program berkenaan menghimpunkan golongan pelajar, pemimpin muda serta wakil institusi pendidikan dan organisasi bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan kepimpinan, cabaran generasi masa depan serta peranan belia dalam mendepani perubahan global.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata kepimpinan yang berkesan bukan hanya tertumpu kepada kuasa, sebaliknya memberi penekanan kepada pembangunan potensi individu lain.

“Kepimpinan bukan tentang memerintah orang lain, tetapi tentang memperkasakan orang lain,” katanya dalam ucapan alu-aluan di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa pemimpin masa kini perlu mempunyai keberanian dalam membuat keputusan yang mencabar demi kebaikan bersama.

“Pemimpin sejati ialah mereka yang berani membuat keputusan yang berbeza dan sukar serta berdiri teguh dalam menghadapi tekanan dan sanggup memikul tanggungjawab,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa masa depan negara bergantung kepada generasi muda yang berfikiran kritis serta berani mencorak perubahan.

“Masa depan tidak akan dibentuk oleh mereka yang hanya mewarisinya, tetapi oleh mereka yang bersedia untuk memahaminya, mempersoalkannya dan mengubahnya,” ujarnya.

Turut hadir persidangan ini bekas pemain bola sepak lagenda antarabangsa, Mesut Özil yang turut berkongsi pandangan bahawa kepercayaan terhadap diri sendiri dan pasukan merupakan elemen penting dalam kepimpinan, walaupun pernah berdepan kekalahan dalam kariernya.

“Percaya pada diri sendiri dan percaya kepada kumpulan. Walaupun saya banyak kalah dalam perlawanan bola sepak, pada akhirnya jangan pernah berputus asa. Apa yang menjadikan seseorang pemimpin ialah bukan ketika semuanya berjalan lancar kerana itu mudah untuk diuruskan, tetapi apabila sesuatu tidak berjalan dengan baik, kita perlu belajar daripada kesilapan,” katanya.

Selain itu, pelbagai sesi perkongsian ilmu, forum dan perbincangan panel turut diadakan dengan penglibatan tokoh-tokoh kepimpinan serta pakar dalam bidang masing-masing bagi memberi pendedahan secara langsung kepada peserta.

Peserta turut diberi peluang untuk berinteraksi dan bertukar pandangan mengenai idea-idea baharu serta pendekatan inovatif dalam memperkasa sistem pendidikan dan kepimpinan belia.

Turut hadir dalam program ini ialah Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Republik Türkiye, H.E Profesor Dr. Erol Özvar dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun, H.E Necmeddin Bilal Erdoğan.

WhatsApp
Scroll to Top