PUTRAJAYA, 27 April 2026 (IKIM) – Kerajaan hari ini melancarkan Kempen “Tiada Visa, Tiada Haji” sebagai langkah memperkukuh keselamatan jemaah serta membanteras penipuan berkaitan ibadah haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata kempen tersebut dianjurkan bersama Lembaga Tabung Haji (TH) dengan memberi penekanan kepada kepentingan pematuhan peraturan, khususnya keperluan memiliki visa haji yang sah.
Menurut beliau, hanya jemaah yang mempunyai visa haji dibenarkan menunaikan ibadah tersebut, sekali gus memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara.
“Rakyat Malaysia diingatkan agar tidak menunaikan haji secara sendiri (DIY) kerana sebarang masalah seperti kesihatan atau kecemasan tidak dapat dilindungi sepenuhnya tanpa saluran rasmi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Agensi di Kompleks Islam Putrajaya.
Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan visa selain visa haji seperti visa pelancongan, perniagaan, pekerjaan atau umrah untuk tujuan menunaikan haji adalah satu kesalahan di sisi undang-undang Arab Saudi.
Katanya, akses ke kawasan utama ibadah seperti Arafah, Muzdalifah dan Mina hanya diberikan kepada pemegang visa haji yang sah, dan pelanggaran peraturan boleh mengakibatkan tindakan tegas termasuk denda, penjara serta sekatan memasuki Tanah Suci pada masa hadapan.
Mengulas lanjut, individu yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda sehingga SR100,000, manakala warga asing berisiko diusir. Pihak yang membantu atau mengangkut jemaah tanpa visa sah pula boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan serta denda sehingga SR50,000.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad memaklumkan bahawa Muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-129 telah memutuskan bahawa menunaikan haji tanpa visa sah adalah berdosa, walaupun ibadah tersebut sah sekiranya memenuhi rukun dan syarat.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar berwaspada terhadap tawaran pakej haji yang meragukan dan memastikan semua urusan dibuat melalui saluran rasmi.
Dalam usaha memperkukuh penguatkuasaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menubuhkan Pasukan Petugas Khas dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) serta TH bagi menangani isu penipuan pakej haji dan kes jemaah terkandas.
Bagi musim haji 1447H/2026M, seramai 31,600 jemaah Malaysia dijadual menunaikan haji melalui 100 penerbangan sewa khas bermula 18 April hingga 20 Mei 2026, manakala penerbangan pulang adalah antara 4 Jun hingga 30 Jun 2026.
Kerajaan berharap kempen ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mematuhi peraturan ditetapkan sekali gus melindungi diri daripada risiko penipuan dan tindakan undang-undang.




