PUTRAJAYA, 27 April (IKIM) – Majlis Perhimpunan Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Bilangan 2 telah berlangsung di Auditorium Kompleks Islam di sini hari ini.

Perhimpunan yang bertujuan untuk memperkukuh hala tuju strategik serta menyelaras peranan dalam memperkasa agenda pembangunan ummah ini telah menghimpunkan warga agensi di bawah portfolio berkenaan dan telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Antara pengisian program ialah sesi ceramah “Geopolitik dan Dunia Islam” oleh Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh, Pensyarah UniSZA merangkap Felo Kehormat Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik IKIM, sebelum diteruskan dengan amanat oleh YB Menteri yang turut diiringi tayangan video khas “Gerbang Masa Hadapan: Evolusi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)”.

Dalam amanatnya, Dr. Zulkifli berkata perhimpunan tersebut merupakan kesinambungan kepada sesi amanat pada Januari lalu, dengan pelbagai strategi telah dilaksanakan hasil kerjasama 14 agensi di bawah hal ehwal agama.
Beliau menjelaskan, fokus kini adalah menilai impak, keberkesanan serta manfaat kepada rakyat daripada pelaksanaan tersebut, selain menegaskan bahawa usaha perlu dipertingkat dan tidak boleh berada dalam zon selesa.
Menurut beliau, visi masa depan hal ehwal agama perlu menjurus kepada kecemerlangan perkhidmatan serta pembentukan pemikiran masyarakat agar memahami Islam yang sebenar.

“Seluruh warga hal ehwal agama perlu menjadi pencerita kepada ketamadunan Malaysia yang kita mahukan, khususnya dalam mempersembahkan wajah Islam yang sebenar di negara ini,” katanya.
Tambah beliau, perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang telah dirangka dan kini dalam fasa pemantauan bagi menilai keberkesanan serta melakukan penambahbaikan yang diperlukan.

Dalam majlis sama, beliau turut menyempurnakan pelancaran buku Maqasid Haji: Hikmah Di Sebalik Pensyariatan serta kempen “Tiada Visa, Tiada Haji” bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepatuhan peraturan haji.

Turut berlangsung penyerahan plak Aku Janji kepada ketua-ketua agensi sebagai simbol komitmen terhadap integriti dan kecemerlangan perkhidmatan awam. Bagi pihak Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), plak tersebut diterima oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj Othman, Timbalan Pengerusi IKIM dengan kehadiran Dr. Mohd Zaidi Ismail, Timbalan Ketua Pengarah IKIM.

Perhimpunan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sinergi antara agensi serta memastikan tadbir urus hal ehwal Islam kekal berkesan dan berimpak tinggi.




