500 ANGGOTA DAN VETERAN ATM TERIMA PELUANG PEKERJAAN

Oleh: Muhammad Suhairi Fakri

KUALA LUMPUR, 21 APRIL (IKIM) – Kerjasama strategik dengan pemain industri pertahanan, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dan latihan kepada anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Seramai 500 anggota dan veteran ATM dijangka mendapat manfaat secara langsung daripada inisiatif Kerjaya Kedua Perwira ini terutamanya berkaitan dengan peluang pekerjaan selepas menamatkan perkhidmatan mereka.

Kerjasama antara Kementerian Pertahanan dan lapan syarikat industri susulan pemeteraian Nota Persefahaman (NoU) yang memberi tumpuan kepada latihan dan penempatan pekerjaan membawa kepada peluang ini.

Majlis pertukaran dokumen NoU tersebut disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin sempena penganjuran Defence Services Asia (DSA) 2026, sekali gus memperkukuh usaha kerajaan dalam membantu peralihan kerjaya veteran ke sektor awam.

Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Amir Md Noor berkata penglibatan sektor swasta penting dalam memastikan veteran tidak tercicir sebaliknya terus diberi akses kepada pekerjaan berkualiti serta latihan yang meningkatkan kemahiran.

Menurut beliau setakat suku pertama 2026, sebanyak 718 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan dengan 449 veteran telah ditempatkan dalam sektor aeroangkasa, automotif, logistik dan perkhidmatan, membuktikan inisiatif ini memberi impak nyata dalam membuka laluan kerjaya baharu kepada bekas anggota tentera.

Antara syarikat terlibat ialah Boustead Holdings Bhd., MILDEF International Technologies Sdn. Bhd., High Point Worldwide Sdn. Bhd., Global Turbine Asia Sdn. Bhd., TAE Aerospace Pty. Ltd. (Australia), G7 Aerospace Sdn. Bhd., Galaxy Aerospace (M) Sdn. Bhd. dan Cendana Auto Sdn. Bhd. yang menyediakan peluang dalam bidang pertahanan dan industri berkaitan.

WhatsApp
Scroll to Top