PETALING JAYA, 22 April (IKIM) — Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), menganjurkan “Simposium Islam dan Kemanusiaan 2026” bagi membincangkan isu pelarian yang semakin meruncing di peringkat global.
Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Haji Othman berkata dunia kini berdepan krisis kemanusiaan yang serius dengan jumlah individu yang dipaksa meninggalkan kediaman terus meningkat akibat konflik bersenjata, penindasan dan pelanggaran hak asasi manusia.

Menurut beliau, laporan UNHCR menunjukkan sehingga pertengahan 2025, seramai 117.3 juta orang di seluruh dunia menjadi pelarian, termasuk lebih 42 juta pelarian rentas sempadan, hampir 67.8 juta pelarian dalaman, serta 8.4 juta pencari suaka.
“Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi mencerminkan penderitaan manusia sejagat yang memerlukan tindakan kolektif masyarakat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada simposium yang berlangsung di M Resort & Hotel, di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia kekal sebagai negara perlindungan sementara penting dengan seramai 218,268 pelarian dan pencari suaka berdaftar setakat awal 2026, majoritinya dari Myanmar termasuk komuniti Rohingya.
Tambahnya, situasi tersebut menjadikan isu pelarian di Malaysia bukan lagi bersifat sementara, sebaliknya satu realiti berpanjangan yang memerlukan pendekatan dasar lebih inklusif serta kerjasama antarabangsa yang kukuh.

“Walaupun Malaysia menjadi destinasi pilihan kerana kestabilan relatif dan faktor kemanusiaan, pelarian di negara ini masih berdepan cabaran seperti ketiadaan status perundangan formal, akses terhad kepada pekerjaan, pendidikan dan kesihatan, serta risiko eksploitasi,” jelas beliau.
Mengulas punca krisis, beliau menyatakan ia kini berpunca daripada gabungan faktor termasuk konflik berpanjangan di negara seperti Sudan dan Afghanistan, perubahan iklim serta ketidaksamarataan global.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa Islam menekankan perlindungan terhadap golongan tertindas (mustaḍ‘afīn) serta keadilan sejagat merentas sempadan, berasaskan nilai empati dan konsep ithar.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam kerangka maqasid syariah, perlindungan pelarian berkait rapat dengan pemeliharaan nyawa, maruah dan harta, sekali gus menjadikan usaha membantu pelarian sebagai tanggungjawab moral dan agama.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar isu pelarian diperluaskan perbincangannya ke pelbagai platform termasuk mimbar masjid, sistem pendidikan dan media bagi meningkatkan kesedaran masyarakat serta menangani sentimen xenofobia.
“Isu pelarian bukan sekadar isu ‘orang lain’, tetapi mencerminkan kegagalan sistem global dalam menjamin keadilan dan keamanan. Pelarian mungkin kehilangan negara, namun mereka tidak seharusnya kehilangan maruah dan harapan,” katanya.
Simposium tersebut turut menghimpunkan pembentang, ahli akademik, penggubal dasar serta wakil badan antarabangsa bagi mencari penyelesaian holistik terhadap krisis kemanusiaan global.
Jurufoto: Fatkhulmungin Mohd. Yusof




