Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA LUMPUR, 21 April (IKIM) — Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperkukuh kecekapan tadbir urus dan sistem dalaman organisasi menerusi pelaksanaan 111 inisiatif di bawah Peta Transformasi MARA bagi memastikan impak lebih menyeluruh kepada pembangunan sosioekonomi Bumiputera.
Menurut Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa penambahbaikan ini melibatkan sektor pendidikan, keusahawanan, kewangan korporat dan pengurusan, menggunakan pendekatan yang lebih tersusun untuk meningkatkan perkhidmatan kepada usahawan, pelajar dan komuniti luar bandar.

Dalam sektor pendidikan katanya, prestasi pendidikan menunjukkan peningkatan apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mencatat Gred Purata Maktab (GPM) keseluruhan 2.062 dengan lima institusi MRSM merekodkan GPM di bawah 1.500.
“Hasil pencapaian yang amat membanggakan seperti yang kita tahu 5 sekolah MRSM telah mendapat ranking terbaik di antara seluruh sekolah di Malaysia,” ujarnya dalam ucapan sidang media hari ini.

Dalam sektor keusahawanan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memberi fokus kepada pembangunan industri halal serta memperkasa usahawan Bumiputera menembusi pasaran antarabangsa, dengan program Gate to Global (GTG) mencatat nilai transaksi jualan RM449 juta pada 2025 melibatkan 362 usahawan dan 2,818 produk berjaya ke pasaran global.
Dalam masa yang sama, beliau berkata MARA bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) untuk memastikan usahawan kita dapat sijil halal dalam tempoh yang lebih pantas.

Sementara itu dalam sektor kewangan korporat pula, MARA mengambil pendekatan lebih agresif bagi meningkatkan disiplin bayaran balik melalui kaedah seperti auto debit, potongan gaji dan e-mandate, sekali gus menurunkan kadar pembiayaan tidak berbayar (NPF) daripada 35.2 peratus pada Mac 2025 kepada 24.1 peratus pada Mac 2026, selain memperkenalkan dasar pengurusan kredit lebih komprehensif serta latihan profesional untuk pegawai.
Turut dikongsikan ialah perancangan Karnival 60 Tahun MARA yang membawa tema “Menjunjung Amanah”, sebagai simbol komitmen berterusan agensi itu dalam memperkasakan agenda pembangunan sosioekonomi Bumiputera.




