BRUSSELS, 20 April (IKIM) – Kongres Parlimen Global Sumud dijangka mencapai kemuncaknya melalui satu perarakan besar-besaran menuju Parlimen Eropah pada 22 April ini, melibatkan lebih 200 pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ahli parlimen, pakar undang-undang serta pemimpin masyarakat sivil dari seluruh dunia.
Perarakan yang akan bermula di Mont des Arts sebelum berakhir di Place du Luxembourg itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya bertujuan menterjemahkan komitmen politik kepada tekanan awam yang nyata, khususnya dalam isu Palestin.
Inisiatif ini turut seiring dengan perkembangan semasa misi Global Sumud Flotilla yang sedang menuju ke Gaza bagi mencabar sekatan yang dikenakan Israel serta menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Kongres berkenaan dijangka memeterai Deklarasi Brussels yang antara lain memberi fokus kepada penubuhan koridor maritim kemanusiaan ke Gaza, langkah konkrit menamatkan keterlibatan politik dan ketenteraan, serta mekanisme akauntabiliti antarabangsa.

Menurut kenyataan penganjur, perarakan ini akan menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pemimpin Palestin, ahli parlimen Eropah dan antarabangsa, wakil negara Selatan Global, pegawai PBB serta gerakan masyarakat sivil.
Acara kemuncak turut dijangka menampilkan sidang media berprofil tinggi dengan penyertaan wakil Palestin dan pemimpin antarabangsa, selain memberi peluang kepada media mendapatkan liputan langsung serta temu bual eksklusif.
Kongres Parlimen Global Sumud dianjurkan sebagai platform menyelaras tindakan politik global dalam menyokong hak rakyat Palestin serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa.
Sumber ilustrasi : Bernama




