Wartawan: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA LUMPUR, 18 APRIL (IKIM) — Majlis Pelancaran Awal Pra-Francais Glocal Travel & Tours menandakan satu langkah strategik ke fasa baharu dalam usaha memperluas pengaruh serta memperkukuh jenama dalam industri pelancongan, khususnya bagi perkhidmatan umrah dan haji.
Dilihat sebagai langkah proaktif, inisiatif strategik ini turut dilaksanakan dengan bimbingan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dalam memperkukuh pembangunan model francais Glocal Travel ke arah sistem yang lebih tersusun, berstandard dan berdaya saing dalam industri.
Pada masa yang sama, Glocal Travel memperkenalkan inisiatif pra-francais ini yang merupakan hasil kajian bersama pengurusan Glocal Travel dan PERNAS bagi menangani isu yang sering dihadapi jemaah umrah dan haji seperti kesukaran mendapatkan bilik, kelewatan penerbangan dan gangguan perjalanan.

Inisiatif ini bertujuan memperkemas sistem pengurusan perjalanan supaya lebih tersusun dan dipercayai, di samping membuka peluang kepada mutawif serta ejen pelancongan untuk menjadi francaisi dalam rangkaian tersebut secara lebih teratur.
Ketua Pegawai Eeksekutif (CEO) Glocal Travel & Tours, Dato Hj Mohd Idzham Hj Mohd Isa menyifatkan inisiatif pra-francais ini sebagai peluang strategik kepada usahawan untuk menceburi industri pelancongan khususnya umrah dan haji tanpa perlu menguruskan operasi kompleks seperti tempahan hotel dan penerbangan.
“Ini memang berbaloi dan strategik, mereka hanya perlu fokus kepada jualan dan pemasaran sahaja tanpa perlu fikir tentang pengurusan operasi.

Saya memang amat teruja dan saya amat berterima kasih kepada pucuk pimpinan Pernas kerana memberi kita ruang. Sebab bukan senang daripada satu benda yang selalu buat seperti makan tiba-tiba bertukar kepada servis yang lain. Banyak benda pun Pernas nak kena lalui,” katanya.
Dalam pada itu, Glocal Travel turut menumpukan kepada kesiapsiagaan musim haji apabila perlepasan pertama jemaah dijadualkan pada 1 Mei, mencerminkan komitmen syarikat dalam memastikan perjalanan ibadah diurus dengan lancar, selamat dan teratur.




