MADINAH, 18 April 2026 (IKIM) – Seramai 284 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Madinah sebagai kumpulan pertama (KT01) bagi musim haji 1447H/2026M, dalam suasana penuh kesyukuran.
Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz pada jam 8.21 pagi waktu tempatan menandakan bermulanya perjalanan suci sebagai tetamu Allah, selepas melalui tempoh persediaan yang panjang.
Kumpulan jemaah ini menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4.09 pagi waktu Malaysia, sebelum tiba di Hotel Emaar Royal, Madinah sekitar jam 9.45 pagi waktu tempatan.

Rombongan jemaah disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Dato’ Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman bersama Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Ridzuan Wahi serta Konsul Haji Malaysia di Jeddah, Radin Adi Hilmi.
Turut hadir barisan pengurusan kanan dan petugas Lembaga Tabung Haji (TH) yang telah bersiap siaga bagi memastikan kebajikan jemaah terjaga.
Menurut Syed Mohamad Bakri segala persiapan telah dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan jemaah dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah sepanjang berada di Tanah Suci.
Beliau berkata, kejayaan ketibaan kumpulan pertama ini adalah hasil perancangan rapi, kerjasama erat dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta komitmen berterusan TH dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan jemaah.

“Petugas Tabung Haji juga komited memastikan setiap jemaah bukan sahaja selesa dari segi kebajikan, malah dibimbing untuk mencapai haji yang mabrur, insya-Allah,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan para jemaah agar sentiasa menjaga kesihatan, memperbanyakkan ibadah serta mematuhi segala panduan dan arahan sepanjang berada di Tanah Suci.
Sepanjang enam hari di Madinah, para jemaah akan mengikuti program yang telah diatur termasuk ziarah ke Masjid Nabawi, Makam Rasulullah SAW, Raudhah serta lokasi-lokasi bersejarah di sekitar bandar itu.

Dua lagi kumpulan jemaah dijangka tiba pada hari yang sama iaitu KT02 melibatkan 284 orang pada jam 2.10 petang, diikuti KT03 seramai 357 orang pada jam 9.10 malam waktu tempatan.
Operasi Haji 1447H/2026M yang bermula hari ini dijangka membawa seramai 31,600 jemaah haji Malaysia secara berperingkat ke Madinah dan Makkah menerusi 100 penerbangan sewa khas yang dikendalikan oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.




