QARI PERAK, QARIAH SARAWAK JOHAN TILAWAH AL-QURAN KEBANGSAAN 2026

KUALA NERUS, 19 April (IKIM) – Qari dari Perak, Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali dan qariah dari Sarawak, Nur Syakura Mohamad Musa, dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2026M.

Kedua-dua johan membawa pulang wang tunai RM20,000 serta tambahan RM10,000 bagi menunaikan ibadah haji, selain piala, cenderamata dan sijil penyertaan.

Selangor pula muncul sebagai juara keseluruhan bagi edisi kali ini.

Bagi kategori hafazan, Muhammad Izzul Afnan Sazali dari Wilayah Persekutuan menjuarai hafazan juzuk 1 hingga 30 bahagian lelaki, manakala Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam dari Melaka muncul johan bahagian perempuan.

Kategori hafazan juzuk 1 hingga 20 menyaksikan Wan Syimir Muhaimin Wan Ahmad Sadaba dari Pahang sebagai johan lelaki, sementara Nur Izzati Norazmi dari Selangor menjuarai bahagian perempuan.

Bagi kategori hafazan juzuk 1 hingga 10, Muhammad Amnan Muhammad Sani dari Sabah muncul johan lelaki, manakala Siti Sofiyyah Abu Bakar dari Kelantan memenangi kategori perempuan.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail di Stadium Tertutup Gong Badak, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Turut berangkat, Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Dato’ Seri Muhammad Mua’az dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan serta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam ucapannya, Zulkifli menegaskan bahawa keberangkatan institusi Diraja mencerminkan sokongan berterusan dalam memartabatkan syiar Islam serta memperkukuh kecintaan masyarakat terhadap Al-Quran.

Beliau berkata tema “Kalam Ilahi, Tradisi Diwarisi” amat signifikan dalam membentuk masyarakat berakhlak dan sejahtera, dengan menjadikan Al-Quran sebagai kompas utama dalam mengimbangi pembangunan fizikal dan kekuatan spiritual.

Menurut beliau, Al-Quran bukan sekadar teks untuk dibaca, tetapi merupakan wahyu hidup yang perlu dijadikan pedoman dalam membentuk cara berfikir, membuat keputusan dan bertindak.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam agar memperkukuh hubungan dengan Al-Quran bukan hanya melalui bacaan yang indah, tetapi dengan menghayati dan mengamalkan nilai-nilai yang terkandung di dalamnya sebagai panduan kehidupan.

Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ini berlangsung selama enam hari dengan penyertaan qari, qariah serta hafiz dan hafizah dari seluruh negara.

WhatsApp
Scroll to Top